Khairul Aming fail laporan, LOD susulan dakwaan kebocoran data

Threads Khairul Aming

KUALA LUMPUR, 22 Julai- Pempengaruh dan usahawan terkenal, Khairul Aming memaklumkan telah mengambil beberapa tindakan susulan berhubung dakwaan kebocoran maklumat peribadinya termasuk menyerahkan pengurusan kes itu kepada pasukan peguam.

RINGKASAN BERITA AI
  • Peguam menghantar surat tuntutan (LOD) kepada syarikat telekomunikasi dan membuat laporan rasmi kepada MCMC.
  • Laporan polis dibuat di IPD Dang Wangi dan aduan kebocoran data dikemukakan kepada Pesuruhjaya Perlindungan Data Peribadi.
  • MCMC anggap serius dakwaan akses tanpa kebenaran terhadap maklumat pelanggan dan sistem dalaman; menteri gesa mangsa buat laporan.

Menerusi hantaran di platform Threads hari ini, beliau berkata peguamnya telah menghantar surat tuntutan (LOD) kepada syarikat telekomunikasi terlibat, selain membuat laporan rasmi kepada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC).

Beliau turut memaklumkan laporan polis telah dibuat di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi bagi membolehkan siasatan dijalankan terhadap individu yang dipercayai terlibat.

Selain itu, laporan berhubung dakwaan kebocoran data turut dikemukakan kepada Pesuruhjaya Perlindungan Data Peribadi (SPDP).

“Peguam-peguam saya akan mengambil alih kes ini sehingga selesai. Sejujurnya saya rasa sedih dan seram kerana semudah itu sahaja privasi hidup boleh hilang. Butiran telefon, sejarah pembayaran, langganan sehingga nombor kad pengenalan yang boleh mengakses MySara, semuanya bocor,” katanya.

Semalam, Menteri Komunikasi, Datuk Seri Fahmi Fadzil berkata MCMC akan mendapatkan laporan penuh berhubung dakwaan kebocoran maklumat peribadi membabitkan Khairul Aming.

Beliau berkata pihaknya memandang serius perkara itu kerana dakwaan berkenaan memberi gambaran terdapat akses tanpa kebenaran terhadap maklumat pelanggan dan sistem dalaman sebuah syarikat telekomunikasi.

Datuk Seri Fahmi turut menggesa mana-mana individu yang berdepan insiden sama supaya membuat laporan kepada MCMC bagi membolehkan tindakan susulan diambil.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.