Lapan individu ditahan, dadah bernilai RM3.04 juta dirampas

Datuk Ab Rahaman Arsad

JOHOR BAHRU, 22 Julai – Polis Johor menahan lapan lelaki termasuk seorang warga asing disyaki terlibat dalam sindiket pengedaran dadah serta merampas dadah bernilai RM3.04 juta menerusi dua operasi berasingan di sekitar Johor Bahru, 18 Julai lalu.

RINGKASAN BERITA AI
  • Polis merampas 50 paket disyaki methamphetamine, berat 60.78 kilogram, dalam serbuan di kawasan hotel.
  • Pemeranan suspek dikenal pasti: transporter, runner, orang kanan, ketua sindiket dan dalang utama yang mengatur operasi.
  • Sindiket aktif sejak Mei, gunakan kenderaan sebagai stor, beberapa suspek positif dadah, pelbagai aset disita dan reman tujuh hari, disiasat bawah Seksyen 39B.

Menurut Ketua Polis Johor, Datuk Ab Rahaman Arsad, empat lelaki warga tempatan dan seorang lelaki warga asing ditahan menerusi operasi pertama di parkir kenderaan berhadapan sebuah hotel di Johor Bahru, selain merampas 50 paket plastik disyaki dadah jenis methamphetamine (syabu) seberat 60.78 kilogram.

Susulan tangkapan itu, polis melancarkan serbuan di sebuah hotel dan menahan tiga lagi lelaki tempatan yang dipercayai terlibat dalam sindiket berkenaan.

“Siasatan mendapati suspek pertama dan kedua berperanan sebagai transporter, manakala suspek ketiga bertindak sebagai runner. Suspek keempat, kelima dan keenam pula merupakan orang kanan yang membantu menguruskan operasi sindiket.

“Suspek ketujuh dikenal pasti sebagai ketua sindiket, manakala suspek kelapan merupakan dalang utama yang mengatur keseluruhan operasi sindiket,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor, di sini.

Sindiket itu dipercayai aktif sejak Mei lalu dengan menjadikan kenderaan sebagai stor penyimpanan dadah sebelum diedarkan ke pasaran tempatan.

Saringan ujian air kencing mendapati tiga suspek positif dadah jenis methamphetamine manakala empat daripada suspek turut memiliki rekod kesalahan jenayah.

Turut disita pelbagai aset termasuk kenderaan dan barang kemas dengan nilai dianggarkan RM100,000.

Kesemua suspek ditahan reman selama tujuh hari sehingga 25 Julai ini untuk siasatan lanjut. Kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.