
BERA, 22 Julai – Sebanyak RM1.3 juta nilai jualan disasar sepanjang empat hari penganjuran MAHA Pahang 2026 bermula esok di Dataran Raub.
- Program menghimpunkan 100 usahawan tani, vendor makanan dan penggiat pelancongan dengan pameran, teknologi pertanian pintar, pesta buah dan uji rasa Wagyu.
- Pengunjung berpeluang memenangi hadiah cabutan bertuah termasuk sebuah Perodua Bezza, seekor lembu Wagyu dan hadiah istimewa lain.
- MAHA bertujuan memperkukuh sektor agromakanan, memperluas akses pasaran usahawan tempatan dan menarik generasi muda kepada pertanian moden.
Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata program menghimpunkan 100 usahawan tani, vendor makanan, penggiat industri asas tani serta sektor pelancongan tempatan itu dijangka menarik 100,000 pengunjung dengan pengisian pelbagai aktiviti.
Antaranya pameran, teknologi pertanian pintar, pesta buahan tempatan dan agihan buah-buahan secara percuma,pertandingan, jualan anak pokok dan uji rasa daging Wagyu.
“Saya menjemput orang ramai khususnya rakyat Pahang supaya datang beramai-ramai ke Dataran Raub di samping dapat mencari maklumat melibatkan pelbagai jenis tanaman seperti durian Musang King atau durian Raja Benta,” katanya.
Beliau menambah, pengunjung yang hadir berpeluang memenangi pelbagai hadiah cabutan bertuah termasuk sebuah Perodua Bezza, seekor lembu Wagyu dan pelbagai hadiah istimewa lain.
“Penganjuran MAHA Pahang 2026 bertujuan memperkukuh sektor agromakanan negeri, memperluas akses pasaran kepada usahawan tempatan serta memberi pendedahan kepada generasi muda menceburi sektor pertanian dengan menampilkan pertanian sebagai satu industri moden dan berpotensi tinggi,” jelasnya kepada pemberita selepas Majlis Pelepasan Konvoi MAHA Pahang di Raub.
Konvoi tersebut disertai 25 kenderaan daripada pelbagai jabatan dan agensi kerajaan seperti Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri, Jabatan Pertanian Negeri, Jabatan Perkhidmatan Veterinar Negeri dan Jabatan Perikanan Negeri.