Permintaan latihan kendali kren bergerak meningkat, buka peluang kerjaya

Kren bergerak (mobile crane)

JENAGOR, 22 Julai – Permintaan terhadap latihan pengendali kren bergerak (mobile crane) kompeten terus meningkat seiring perkembangan industri pembinaan negara sekali gus membuka peluang kerjaya kepada golongan belia.

RINGKASAN BERITA AI
  • Kursus antara dua hingga enam bulan, terbuka kepada belia 21 tahun ke atas, dua sesi pengambilan setiap tahun.
  • Latihan 80 peratus praktikal dan 20 peratus teori mengikut piawaian CIDB meningkatkan kebolehpasaran serta peluang kerjaya.
  • ABM memasarkan pelatih ke seluruh negara; majoriti pelatih mendapat pekerjaan selepas tamat latihan.
  • Operator kren perlu memenuhi syarat JPJ dan JKKP, manakala CIDB memastikan piawaian keselamatan dan kompetensi dipatuhi.

Ketua Pegawai Eksekutif Akademi Binaan Malaysia (ABM) Wilayah Timur, Ahmad Kamil Yusof berkata, kursus selama antara dua hingga enam bulan itu dibuka kepada belia berusia 21 tahun ke atas dengan dua sesi pengambilan setiap tahun.

Latihan yang ditawarkan ABM Wilayah Timur memberi penekanan kepada 80 peratus praktikal dan 20 peratus teori mengikut standard yang diluluskan Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB) juga meningkatkan kebolehpasaran serta peluang kerjaya selepas tamat latihan.

“Saya boleh katakan 100 peratus pelatih yang menjalani latihan di abm wilayah timur khususnya, mereka boleh mendapat pekerjaan selepas tamat.

“Kita pasarkan pelatih kita ini bukan hanya untuk pasaran pekerjaan di negeri Terengganu ataupun Wilayah Timur, tetapi mereka juga berpeluang bekerja di mana-mana negeri di Malaysia,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita di ABM Wilayah Timur, di sini.

Sementara itu, Pengarah CIDB Terengganu, Mohamad Norsani Katap berkata, operator kren perlu memenuhi syarat yang ditetapkan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dan Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP) bagi memastikan setiap operasi dilaksanakan secara selamat.

“CIDB sentiasa memastikan pengendali kren yang dilahirkan benar-benar kompeten serta mematuhi piawaian keselamatan industri pembinaan,” katanya.

ABM Wilayah Timur kini mempunyai lebih 50 tenaga pengajar dan kakitangan pengurusan serta menempatkan seramai 202 pelatih.

Selain geran latihan CIDB yang disediakan secara terhad, pelatih turut berpeluang mengikuti latihan menerusi tajaan daripada pelbagai agensi dan pihak industri.

ABM Wilayah Timur merupakan antara enam Akademi Binaan Malaysia yang beroperasi di seluruh negara bagi melahirkan tenaga mahir dalam sektor pembinaan.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.