
ISKANDAR PUTERI,20 Julai – Ibu bapa dinasihatkan supaya memastikan setiap kejohanan atau pertandingan sukan yang disertai anak-anak mendapat pengiktirafan serta kelulusan daripada badan sukan yang sah.
- Pastikan setiap kejohanan mendapat kelulusan badan induk negeri atau kebangsaan bagi menjamin pengurusan profesional dan keselamatan pemain.
- Semak status kejohanan melalui logo atau pengesahan badan sukan berdaftar seperti PBNJ dan JBFA sebelum menyertai.
- PBNJ disaran menyiasat penganjur kejohanan tanpa 'sanction' dan mempertimbangkan tindakan sewajarnya selepas insiden tragik pemain B-12.
Exco Belia dan Sukan, Pembangunan Usahawan dan Koperasi Johor, Mohd Hairi Mad Shah berkata, setiap penganjuran acara sukan perlu mendapat kelulusan badan induk berkaitan sama ada di peringkat negeri mahupun kebangsaan.
“Ibu bapa juga boleh menyemak status sesuatu kejohanan menerusi pengesahan atau paparan logo badan sukan berdaftar seperti Persatuan Bola Sepak Johor Bahru (JBFA), Persatuan Bola Sepak Negeri Johor (PBNJ) atau persatuan induk sukan berkaitan.
“Langkah itu penting bagi memastikan pertandingan yang disertai anak-anak dikendalikan secara profesional selain mengambil kira aspek keselamatan pemain,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas menghadiri majlis mengimbas kad perakam waktu hari pertama penggal baharu di Pejabat Majlis Sukan Negeri Johor, Bangunan Datuk Mohamad Ibrahim Munsyi, Kota Iskandar.
Saranan itu dibuat susulan kejadian seorang pemain bola sepak bawah 12 tahun (B-12) meninggal dunia selepas rebah ketika menyertai kejohanan di Johor, kelmarin.
Mangsa yang merupakan pemain pasukan ‘Shining Academ’ dari Pasir Gudang dilaporkan tiba-tiba rebah ketika beraksi di padang sebelum disahkan meninggal dunia.
Mohd Hairi turut menzahirkan ucapan takziah kepada keluarga mangsa dan menyifatkan kehilangan itu sebagai pemergian seorang bakat muda dalam sukan bola sepak.
Beliau berkata, semakan awal mendapati kejohanan berkenaan tidak mendapat ‘sanction’ daripada PBNJ mahupun JBFA.
Sehubungan itu, beliau meminta PBNJ meneliti perkara berkenaan secara serius termasuk memanggil pihak penganjur untuk mendapatkan penjelasan serta mempertimbangkan tindakan sewajarnya.