
PUTRAJAYA, 19 Julai – Jabatan Mufti Wilayah Persekutuan menyokong penuh cadangan pindaan Akta Pengangkutan Jalan 1987 [Akta 333] yang mewajibkan pesalah kemalangan membayar pampasan kepada mangsa atau waris.
- Jabatan Mufti menyokong pindaan Akta 333 yang mewajibkan pesalah membayar pampasan kepada mangsa atau waris.
- Langkah itu memperkukuh keadilan sambil membela hak dan kebajikan mangsa.
- Pesalah menyebabkan kematian atau kecederaan kerana kecuaian melampau termasuk memandu bawah pengaruh alkohol atau dadah wajar dipertanggungjawabkan.
- Jabatan Mufti sedia memberi pandangan hukum dan prinsip Syariah bagi menggubal mekanisme pampasan adil serta praktikal.
Mufti Wilayah Persekutuan, Ahmad Fauwaz Fadzil melalui satu kenyataan berkata, langkah itu disifatkan mampu memperkukuh keadilan dengan bukan sahaja menghukum pesalah, malah membela hak dan kebajikan mangsa.
Tambahnya, pesalah yang menyebabkan kematian atau kecederaan akibat kecuaian melampau termasuk memandu di bawah pengaruh alkohol atau dadah wajar dipertanggungjawabkan terhadap kesan perbuatan mereka.
“Pendekatan itu selari dengan prinsip syariah yang menitikberatkan pemeliharaan nyawa, pembelaan hak mangsa serta pelaksanaan pampasan melalui konsep diyat.
“Mekanisme pampasan yang adil dan berkesan dapat membantu meringankan beban kewangan keluarga mangsa, di samping menjadi peringatan bahawa kecuaian di jalan raya bukan kesalahan yang boleh dipandang ringan,” katanya.
Jabatan Mufti Wilayah Persekutuan turut menyatakan kesediaan untuk memberikan pandangan daripada sudut hukum dan prinsip syariah bagi membantu kerajaan menggubal mekanisme pampasan yang adil serta praktikal.