
IPOH, 19 Julai – Kementerian Komunikasi akan bekerjasama dengan Institut Akhbar Malaysia (MPI) dan Majlis Media Malaysia (MMM) bagi memastikan paparan Jalur Gemilang sepanjang Bulan Kebangsaan dibuat dengan tepat.
- Kementerian memantau kandungan media termasuk bahan AI agar mematuhi spesifikasi Jalur Gemilang.
- Pihak yang melakukan kesilapan akan dinasihati untuk membuat pembetulan sebelum tindakan susulan dipertimbangkan.
- Jika pembetulan tidak dibuat, kementerian akan meneliti tindakan susulan yang wajar diambil.
- Pelbagai program sehingga 16 September termasuk Kempen Kibar Jalur Gemilang dipaparkan di portal Merdeka360; tema 2026 Malaysia MADANI.
Menteri Komunikasi, Datuk Seri Fahmi Fadzil berkata, kerjasama itu juga turut melibatkan syarikat media terutamanya kandungan yang dihasilkan menggunakan teknologi kecerdasan buatan (AI) tidak menyalahi spesifikasi Jalur Gemilang.
Pihak yang melakukan kesilapan akan dinasihati supaya membuat pembetulan terlebih dahulu sebelum tindakan susulan dipertimbangkan.
“Kita ada akta tersendiri tetapi kita akan ambil langkah pertama iaitu menasihatkan dan kita akan cuba berhubung dengan mana-mana pihak yang sekiranya mereka telah tersalah menghasilkan kandungan ataupun tersalah mengibarkan untuk menasihati mereka supaya perbetulkannya.
“Dan sekiranya tidak diperbetulkan atas apa-apa sebab, kemudian kita akan teliti apa tindakan susulan yang wajar diambil,” katanya.
Datuk Seri Fahmi berkata demikian selepas Majlis Pelancaran Bulan Kebangsaan dan Kibar Jalur Gemilang 2026 di sini hari ini.
Dalam pada itu, pelbagai program akan berlangsung sehingga 16 September depan termasuk Kempen Kibar Jalur Gemilang yang akan dihimpunkan menerusi portal “Merdeka360” sebagai rujukan orang ramai.
Beliau memaklumkan tema sambutan tahun ini “Malaysia MADANI: Kesejahteraan Dinikmati”mencerminkan usaha memastikan manfaat pembangunan negara dapat dirasai secara adil dan inklusif oleh seluruh rakyat negara ini.