
KUALA LUMPUR, 19 Julai – Pendidikan serta literasi politik perlu diperkukuh dalam kalangan golongan muda supaya mereka memahami sistem pemerintahan, proses pilihan raya serta mampu membuat keputusan secara rasional dan bertanggungjawab.
- Perkukuh pendidikan politik untuk memastikan golongan muda memahami sistem pemerintahan dan proses pilihan raya dengan tepat.
- Galakkan pengetahuan menyeluruh supaya belia dapat menentukan hala tuju pemerintahan negara secara rasional dan bertanggungjawab.
- Tangani algoritma media sosial dan ruang gema maklumat yang menyempitkan pemikiran belia tanpa pengetahuan demokrasi mencukupi.
- Manfaatkan pendedahan kepada pelbagai sumber maklumat untuk menilai dasar, keberkesanan pentadbiran dan impak kepada masyarakat.
Menurut Ketua Jabatan Kenegaraan dan Ketamadunan, Fakulti Ekologi Manusia, Universiti Putra Malaysia, Profesor Madya Dr. Mohd Mahadee Ismail, usaha itu penting bagi memastikan golongan muda dapat memainkan peranan sebagai pengundi yang berinformasi, sekali gus menyumbang kepada kelangsungan amalan demokrasi yang lebih matang di negara ini.
“Mereka perlu diberikan perhatian serta kefahaman yang betul tentang sistem pemerintahan negara, termasuk proses Pilihan Raya Umum di peringkat Persekutuan dan Pilihan Raya Negeri di peringkat negeri.
Mereka juga perlu diberikan pemahaman yang jelas, menyeluruh dan tuntas supaya mampu menentukan hala tuju pemerintahan negara pada masa hadapan,” katanya selepas menjadi tetamu program bual bicara Selamat Pagi Malaysia, di Angkasapuri, hari ini.
Dalam masa sama beliau menjelaskan, algoritma media sosial dan fenomena ‘ruang gema maklumat‘ menyebabkan pemikiran golongan muda lebih tertutup sekiranya mereka tidak dibekalkan dengan pengetahuan yang mencukupi mengenai sistem demokrasi negara.
Bagi generasi muda yang mula menyertai proses demokrasi selepas pelaksanaan had umur mengundi 18 tahun, mereka memasuki sistem demokrasi dalam suasana yang lebih terbuka serta dinamik.
Pendedahan kepada pelbagai sumber maklumat membolehkan mereka membuat penilaian berdasarkan pemerhatian terhadap pelaksanaan dasar, keberkesanan pentadbiran dan impak sesuatu keputusan kepada masyarakat.