
IPOH, 19 Julai – Pengisian kemerdekaan perlu diterjemahkan melalui dasar yang mengembalikan manfaat kekayaan negara kepada rakyat dan bukan sekadar sambutan dan kibaran Jalur Gemilang, kata Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
- Tindakan sosial termasuk kenaikan gaji penjawat awam, STR, SARA dan bantuan persekolahan untuk meningkatkan kesejahteraan rakyat.
- Generasi muda mesti menghargai pengorbanan panjang serta darah, keringat dan air mata menentang penjajahan.
- Selepas merdeka, tanggungjawab kita membangunkan negara dan memastikan hasil kemajuan dinikmati bersama.
- Kekuatan Malaysia terletak pada perpaduan kaum; kibarkan Jalur Gemilang dengan kebanggaan mempertahankan kedaulatan negara.
Beliau menegaskan, usaha itu dizahirkan menerusi pelaksanaan kenaikan gaji penjawat awam, Sumbangan Tunai Rahmah (STR), Sumbangan Asas Rahmah (SARA) dan bantuan persekolahan bagi meningkatkan kesejahteraan rakyat.
“Kita tahu pengorbanan penjawat awam, rakan-rakan kita, adik abang kita, saudara mara kita, penjawat awam yang tidak diberi kenaikan selama 12 tahun dan tahun ini kita naikkan gaji dan upah penjawat awam.
“Ini dalam kerangka apa? Dalam kerangka memaknai kemerdekaan. Supaya seluruh kekayaan itu dinaikkan, diangkat kedudukan ekonomi dan dicurahkan semula kepada rakyat,” katanya ketika berucap pada Majlis Peluncuran Bulan Kebangsaan dan Kibar Jalur Gemilang 2026, di sini hari ini.

Datuk Seri Anwar berkata, generasi muda perlu memahami bahawa kemerdekaan dicapai hasil perjuangan panjang serta pengorbanan darah, keringat dan air mata menentang penjajahan.
Menurutnya, penjajahan bukan sahaja merampas kekayaan negara, malah menjejaskan maruah, jati diri dan hak rakyat menentukan masa depan sendiri.
Beliau menekankan bahawa selepas merdeka tanggungjawab rakyat ialah mengisi kebebasan itu dengan membangunkan negara serta memastikan hasil kemajuan dinikmati bersama.
Perdana Menteri turut mengingatkan kekuatan Malaysia terletak pada perpaduan semua kaum, selaras dengan semangat “Bersekutu Bertambah Mutu” yang diwariskan Bapa Kemerdekaan, Tunku Abdul Rahman.
Beliau turut menyeru rakyat mengibarkan Jalur Gemilang dengan penuh kebanggaan sebagai simbol menghargai perjuangan kemerdekaan dan tekad mempertahankan kedaulatan negara.