Ancaman gajah liar: Pekebun rugi hasil tanaman musnah

Keadaan kebun kelapa yang musnah dirosakkan gajah liar/Foto RTM

DUNGUN, 19 Julai – Sekumpulan pekebun di Kampung Kuala Jengai, Hulu Dungun menyuarakan bimbangan berikutan kehadiran seekor gajah liar yang memusnahkan tanaman di kebun mereka sejak lima hari lalu.

RINGKASAN BERITA AI
  • Gajah liar memusnahkan pokok kelapa dan hasil bertahun-tahun, menyebabkan pekebun kecewa dan rugi besar.
  • Penduduk bimbang terhadap keselamatan, enggan ke kebun bersendirian kerana takut terserempak gajah.
  • Kejadian pertama sejak kira-kira 40 tahun; gajah dipercayai keluar dari hutan simpan pada awal pagi.
  • Penduduk perlu keluarkan modal besar untuk menanam semula; laporan dibuat kepada PERHILITAN untuk tindakan.

Menurut mereka, haiwan liar itu bukan sahaja merosakkan tanaman yang menjadi sumber pendapatan mereka malah berisiko mendatangkan bahaya kepada penduduk di kawasan terbabit.

Dalam kejadian Selasa lalu, seorang pekebun, Mohd. Zakuan Mohd. Marzuki mengalami kerugian besar selepas puluhan pokok kelapa yang diusahakannya sejak beberapa tahun lalu dirosakkan gajah berkenaan.

“Terduduk jugalah bila tengok hasil yang kita usahakan bertahun-tahun dan telah keluar hasil musnah dirosakkan gajah liar. Rasa sangat kecewa sehingga terdetik tidak mahu lagi pergi ke kebun yang diusahakan,” katanya dengan rasa sedih.

Kejadian berkenaan merupakan pertama kali berlaku sejak menduduki kawasan itu kira-kira 40 tahun lalu.

Mereka turut mendakwa, haiwan berkenaan keluar dari hutan simpan berhampiran dan masuk ke kawasan kebun pada waktu awal pagi.

Situasi ini menyebabkan penduduk enggan pergi ke kebun bersendirian kerana bimbang terserempak dengan gajah liar itu.

“Risiko kepada kami sebagai pekebun dari segi keselamatan. Selain itu rasa simpati dengan rakan yang tanamannya dirosakkan memandangkan ia mengambil masa bertahun-tahun untuk mendapatkan hasilnya,” kata Mohd. Taufik Abu Bakar yang turut mengusahakan kebun.

Selain kerugian selepas tanaman dirosakkan, penduduk juga terpaksa mengeluarkan modal yang besar untuk menanam semula tanaman di kebun mereka.

Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Besi, Ghazali Sulaiman ketika dihubungi berkata
laporan telah dibuat kepada Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN) daerah Dungun untuk tindakan lanjut.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.