
IPOH, 18 Julai – Persiapan bagi Majlis Peluncuran Bulan Kebangsaan dan Kibar Jalur Gemilang 2026 kini memasuki fasa akhir menjelang acara yang akan disempurnakan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, esok.
- Majlis peluncuran di Institut Latihan KKM Sultan Azlan Shah, Ipoh, menjadi acara pembuka tirai sambutan Bulan Kebangsaan 2026.
- Kerja persiapan giat dilaksanakan bagi memastikan kelancaran majlis yang dijangka menerima kehadiran 3,000 pengunjung.
- Persembahan khas termasuk nyanyian lagu tema oleh seorang artis terkenal akan dibawa secara langsung.
- Tema Malaysia MADANI: Kesejahteraan Dinikmati diserlahkan melalui persembahan kebudayaan, pameran agensi kerajaan dan aktiviti bersama masyarakat.
Majlis itu akan diadakan di Institut Latihan Kementerian Kesihatan Malaysia Sultan Azlan Shah, Ipoh, Perak, sekali gus menjadi acara pembuka tirai sambutan Bulan Kebangsaan tahun ini.
Pengarah Bahagian Perkhidmatan Komunikasi dan Pembangunan Masyarakat, Jabatan Penerangan Malaysia (JAPEN), Muhammad Najmi Mustapha berkata kerja-kerja persiapan giat dilaksanakan bagi memastikan kelancaran majlis yang dijangka menerima kehadiran 3,000 pengunjung.
“Pengisian ada beberapa lagi untuk persembahan khas yang akan kita bawakan iaitu nyanyian lagu tema pada tahun ini. Sudah tentunya akan ada sorang artis terkenal akan menyampaikan lagu tema pada tahun ini dan itu adalah antara yang kita nampak kelainan untuk nyanyian secara langsung lagu tema untuk tahun ini”, katanya kepada pemberita di sini.
Selain acara peluncuran rasmi, pengunjung turut disajikan dengan persembahan kebudayaan, pameran agensi kerajaan serta aktiviti bersama masyarakat.
Penganjuran kali ini mengangkat tema “Malaysia MADANI: Kesejahteraan Dinikmati” dalam usaha menyemarakkan semangat patriotisme rakyat.