
KUALA LUMPUR, 18 Julai – Seni destar dan hiasan kepala bukan sekadar pelengkap busana tradisional, malah menjadi simbol identiti, sejarah dan warisan budaya pelbagai etnik di Malaysia yang perlu terus dipelihara serta diwarisi oleh generasi akan datang.
- Program Pesona Destar 2026 anjuran Jabatan Muzium Malaysia mempamerkan kepelbagaian seni destar dan perkukuh peranan muzium sebagai pusat pembelajaran budaya.
- Timbalan Ketua Setiausaha tekankan setiap etnik bertunjang identiti dan tradisi melalui destar serta kepentingan mempelajari nama dan teknik lipatan.
- Pameran menampilkan 10 koleksi destar daripada Melayu serta pelbagai etnik Sabah dan Sarawak beserta persembahan serta demonstrasi seni.
- Inisiatif ini memperkasakan pemeliharaan warisan dan meningkatkan kesedaran menghargai kepelbagaian budaya sebagai asas perpaduan negara.
Sehubungan itu, Kementerian Perpaduan Negara menerusi Jabatan Muzium Malaysia menganjurkan Program Pesona Destar 2026 bagi mengetengahkan kepelbagaian seni destar dan hiasan kepala masyarakat di negara ini, selain memperkukuh peranan muzium sebagai pusat pembelajaran, dialog budaya dan pengukuhan perpaduan.
Timbalan Ketua Setiausaha (Dasar dan Perancangan Strategik) Kementerian Perpaduan Negara, Mohamad Sobri Mat Daud berkata, setiap etnik di Malaysia memiliki identiti dan tradisi tersendiri yang dapat dilihat menerusi seni destar serta hiasan kepala, sekali gus mencerminkan kekayaan warisan budaya negara.
Katanya, program itu turut memberi pendedahan kepada masyarakat mengenai sejarah, adat istiadat dan keunikan busana tradisional yang menjadi asas kepada pembentukan keharmonian dalam masyarakat majmuk.
“Kita menggalakkan masyarakat mempelajari nama, kaedah lipatan dan keunikan setiap destar kerana ia merupakan warisan budaya yang sangat bernilai serta mampu mengukuhkan perpaduan dalam kepelbagaian.
“Kita mempunyai perbezaan dari segi agama, bahasa dan budaya, namun perbezaan itu perlu dihormati dan diraikan agar kita dapat hidup dalam suasana yang harmoni,” katanya pada sidang media selepas merasmikan Program Pesona Destar 2026 di Muzium Negara, hari ini.
Program anjuran Jabatan Muzium Malaysia dengan kerjasama Muzium Etnologi Dunia Melayu itu menampilkan 10 koleksi destar dan hiasan kepala daripada masyarakat Melayu serta pelbagai etnik di Sabah dan Sarawak.
Selain pameran, program berkenaan turut dimeriahkan dengan pelbagai aktiviti berteraskan warisan budaya, termasuk persembahan kebudayaan, pertandingan lipatan destar, demonstrasi seni hiasan kepala dan sesi perkongsian ilmu mengenai sejarah serta signifikan pemakaian destar dalam masyarakat.
Program Pesona Destar merupakan antara inisiatif Kementerian Perpaduan Negara untuk memperkasa pemeliharaan warisan budaya, di samping meningkatkan kesedaran masyarakat terhadap kepentingan menghargai kepelbagaian budaya sebagai asas kepada perpaduan dan identiti negara.