Polis tumpas dua kegiatan perlombongan Bitcoin di Perak

Gambar hiasan

SERI ISKANDAR, 17 Julai — Polis Daerah Perak Tengah berjaya menumpaskan dua kegiatan perlombongan mata wang kripto atau Bitcoin yang dipercayai menggunakan bekalan elektrik secara haram dalam dua serbuan di Persiaran SIBC 8, Bandar Seri Iskandar, semalam.

RINGKASAN BERITA AI
  • Serbuan kira-kira 1.40 tengah hari hasil risikan IPD Perak Tengah dengan kerjasama Pasukan SEAL TNB Cawangan Utara.
  • Pemeriksaan mendapati premis digunakan untuk perlombongan Bitcoin dan menggunakan sambungan elektrik secara haram tanpa meter sah.
  • Polis merampas 62 mesin perlombongan, dua penghala, empat komputer desktop dan dua gulung kabel elektrik.
  • Tiada tangkapan lagi; polis anggar kerugian sekitar RM60,000 dan siasatan mengikut Seksyen 427 dan Seksyen 37(1) Akta Bekalan Elektrik 1990.

Ketua Polis Daerah Perak Tengah, Asisten Komisioner Mohamad Nasir Ismail berkata serbuan kira-kira pukul 1.40 tengah hari itu dijalankan hasil risikan Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Perak Tengah dengan kerjasama Pasukan SEAL Tenaga Nasional Berhad (TNB) Cawangan Utara.

“Hasil pemeriksaan mendapati kedua-dua premis berkenaan dijadikan lokasi perlombongan Bitcoin dan menggunakan sambungan bekalan elektrik secara haram tanpa meter elektrik yang sah,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, dalam operasi berkenaan polis merampas 62 mesin perlombongan Bitcoin, dua penghala (router) internet, empat komputer desktop serta dua gulung kabel elektrik yang dipercayai digunakan bagi menjalankan kegiatan tersebut.

Mohamad Nasir berkata, tiada tangkapan dibuat setakat ini dan usaha mengesan suspek serta pemilik premis sedang giat dijalankan.

“Polis menganggarkan kerugian akibat kecurian bekalan elektrik mencecah RM60,000. Tiada tangkapan dibuat setakat ini dan usaha mengesan suspek serta pemilik premis sedang giat dijalankan,” katanya.

Beliau berkata kes disiasat mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan kerana melakukan khianat serta Seksyen 37(1) Akta Bekalan Elektrik 1990 kerana menggunakan bekalan elektrik secara tidak sah.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.