
GEORGE TOWN, 20 September – Gerakan Jom Beli Produk Malaysia atau JOM MALAYSIA kini ditransformasikan daripada kempen promosi kepada gerakan nasional yang lebih tersusun bagi memperkasa produk dan jenama tempatan.
- Empat pendekatan JOM MALAYSIA: patriotisme ekonomi, pendekatan seluruh negara, keterangkuman produk tempatan dan peluasan pasaran.
- Menggalakkan penggunaan produk tempatan bagi mengurangkan import, memutar wang dalam ekonomi dan membantu perniagaan mikro, kecil dan sederhana.
- Inisiatif termasuk KITA KLIK!, Dari Kita Untuk Kita dan Local to Global Retail untuk tingkatkan e-dagang dan akses peruncit antarabangsa.
- Jawatankuasa Kabinet ditubuhkan untuk perkasa pembelian produk tempatan, melibatkan kerajaan, industri, usahawan, peruncit dan komuniti.
Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Armizan Mohd Ali berkata, transformasi itu penting bagi memastikan agenda membeli produk tempatan terus relevan selepas lebih 40 tahun dilaksanakan menerusi Kempen Beli Barangan Buatan Malaysia dan Kempen Beli Barangan Malaysia (KBBM).
Menurutnya, pertumbuhan ekonomi negara yang konsisten perlu disokong permintaan domestik yang kukuh, khususnya menerusi peningkatan penggunaan barangan dan perkhidmatan keluaran tempatan.
Beliau berkata, perbelanjaan terhadap produk tempatan bukan sahaja mengurangkan kebergantungan kepada import dan pengaliran wang ke luar negara, malah membantu memastikan wang terus berlegar dalam ekonomi domestik serta memberi manfaat kepada perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS).
Katanya, JOM MALAYSIA berteraskan empat pendekatan utama iaitu semangat patriotisme ekonomi, whole-of-nation, keterangkuman produk tempatan serta peluasan pasaran.
“Ini bukan bermaksud meminta rakyat membeli produk tempatan semata-mata kerana ia dibuat di Malaysia, tetapi membina keyakinan bahawa produk Malaysia mampu bersaing atas kekuatan sendiri dari segi kualiti, nilai, inovasi dan jenama,” katanya ketika merasmikan JOM MALAYSIA Pulau Pinang 2026.
Datuk Armizan berkata, JOM MALAYSIA turut diperluas melangkaui barangan pengguna dan makanan serta minuman, merangkumi perkhidmatan, industri kreatif, fesyen, tekstil, kraftangan, reka bentuk, teknologi dan gaya hidup.
Dalam masa sama, kerajaan mahu produk tempatan berkembang daripada pasaran lokal kepada nasional, serantau dan seterusnya global.
Beliau berkata, Mesyuarat Jemaah Menteri pada 15 Julai lalu turut bersetuju menubuhkan Jawatankuasa Kabinet Bagi Memperkasa Penggunaan dan Pembelian Produk Tempatan, dipengerusikan Timbalan Perdana Menteri II dengan KPDN sebagai urus setia.
Jelasnya, penubuhan jawatankuasa itu membuktikan agenda memperkasa produk tempatan bukan lagi kempen bermusim, sebaliknya sebahagian daripada agenda ekonomi negara yang memerlukan kerjasama kerajaan, industri, usahawan, peruncit, platform digital, media, komuniti dan rakyat.
Transformasi JOM MALAYSIA sebelum ini dimulakan di Pasar Seni Kuala Lumpur pada 27 Jun dan diperluas ke Sandakan, Sabah pada 24 Julai.
Antara inisiatif yang diperkenalkan termasuk KITA KLIK! bagi memperluas kehadiran produk tempatan dalam ekosistem e-dagang, Dari Kita Untuk Kita yang menghubungkan produk tempatan dengan rangkaian pasar raya dan peruncit serta Local to Global Retail bagi membuka laluan produk Malaysia ke pasaran antarabangsa.
Dalam sektor fesyen pula, kerjasama KPDN bersama Kuala Lumpur Fashion Week (KLFW) diteruskan menerusi ‘Fashion Forward Batik Malaysia’ yang menghasilkan 30 reka bentuk eksklusif oleh 10 pereka fesyen tempatan menggunakan tekstil batik asli dari Sabah, Sarawak dan Semenanjung.
Datuk Armizan berkata, inisiatif itu membuktikan warisan tempatan mampu dihidupkan semula melalui inovasi dan diterjemahkan sebagai produk premium yang mempunyai nilai serta potensi di pasaran global.
“JOM MALAYSIA bukan sekadar tentang membeli. Ia tentang membina. Membina produk dan membina jenama. Produk dan jenama Malaysia,” katanya.
Beliau berkata, produk yang bermula daripada premis kecil di Pulau Pinang, Sabah, Sarawak atau negeri lain berpotensi untuk menembusi pasaran luar negara sekiranya disokong secara bersama.
JOM MALAYSIA Pulau Pinang 2026 merupakan destinasi seterusnya festival berkenaan dalam usaha memperluas gerakan membeli produk tempatan di seluruh negara.