Mutu teater muzikal tempatan capai tahap membanggakan

Foto Bernama

KUALA LUMPUR, 20 September – Mutu pementasan teater muzikal tempatan kini mencapai tahap membanggakan, malah mampu setanding dengan karya di peringkat antarabangsa.

RINGKASAN BERITA AI
  • Perdana Menteri menekankan pemerkasaan budaya sebagai sebahagian daripada pertumbuhan ekonomi, memerlukan sokongan berterusan kerajaan dan sektor swasta.
  • Teater Muzikal Mansur dan Liu mengisahkan pertemuan Sultan Mansur Shah dan Puteri Liu, diambil dari Sulalatus Salatin.
  • Arahan Datuk M. Nasir mengangkat tema cinta, budaya dan perpaduan; karya diharap memperkukuh seni dan perkenalkan warisan Melayu antarabangsa.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, perkembangan itu dapat dilihat menerusi pementasan Teater Muzikal Mansur dan Liu yang disifatkannya antara pementasan terbaik pernah disaksikannya di negara ini.

Menurut beliau, pemerkasaan budaya turut menjadi sebahagian daripada pertumbuhan dan pembangunan ekonomi negara, selain memerlukan sokongan berterusan kerajaan serta sektor swasta.

“Bila saya sebut pertumbuhan pembangunan ekonomi, kita bicara tentang pemerkasaan budaya dan malam ini kita telah buktikan bahawa ada pementasan tempatan yang telah meningkat ke satu taraf yang perlu dibanggakan.

“Saya rasa antara pementasan terbaik yang saya lihat dalam negara dan agak boleh setanding dengan beberapa tempat lain di dunia yang perlu tentunya dokongan kerajaan dan swasta,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas menyaksikan pementasan Teater Muzikal Mansur dan Liu di Istana Budaya, pada Sabtu.

Pementasan yang berlangsung di Panggung Sari, Istana Budaya dari 10 hingga 20 September itu mengisahkan pertemuan Sultan Mansur Shah dan Puteri Liu dari Dinasti Ming, berdasarkan kisah yang dirakamkan dalam Sulalatus Salatin atau Sejarah Melayu.

Buat julung kalinya, naskhah arahan tokoh seni terkemuka, Datuk M. Nasir itu mengangkat tema cinta, budaya dan perpaduan berlatarkan sejarah bangsa.

Seiring aspirasi Tahun Melawat Malaysia 2026, Mansur dan Liu turut diharap menjadi wadah memperkukuh seni persembahan negara serta memperkenalkan warisan Melayu kepada khalayak tempatan dan antarabangsa.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.