Houthi dakwa sasar lokasi penting di Riyadh, fasiliti Aramco di Yanbu

Foto AFP

SANAA, 20 September – Kumpulan Houthi di Yaman mendakwa melancarkan serangan menyasarkan lokasi penting di Riyadh serta fasiliti minyak Aramco di bandar pelabuhan Yanbu, Arab Saudi, pada Sabtu.

RINGKASAN BERITA AI
  • Jurucakap Yahya Saree berkata dua operasi militer guna banyak peluru berpandu balistik, peluru berpandu kruis dan dron.
  • Anggota bomba padam kebakaran pada sebuah tangki bahan api di depoh berhampiran Lapangan Terbang Antarabangsa Riyadh dengan logo Aramco.
  • Laman FlightRadar24 laporkan gangguan besar di Lapangan Terbang King Khalid sebelum trafik penerbangan kembali normal.
  • Pihak berkuasa Saudi keluarkan amaran serangan udara awal pagi, pertama sejak pertempuran Yaman meningkat bulan ini.

Jurucakap tentera Houthi, Yahya Saree, berkata dua operasi ketenteraan dilancarkan menggunakan sejumlah besar peluru berpandu balistik dan kruis serta dron.

Menurutnya, serangan pertama menyasarkan lokasi penting di Riyadh, manakala serangan kedua menyasarkan fasiliti Aramco di Yanbu.

Dakwaan itu dibuat selepas anggota bomba memadam kebakaran pada sebuah tangki bahan api di depoh berhampiran Lapangan Terbang Antarabangsa Riyadh, yang tertera logo syarikat minyak Saudi, Aramco.

Laman penjejakan penerbangan ‘FlightRadar24’ turut melaporkan gangguan besar di Lapangan Terbang Antarabangsa King Khalid, sebelum trafik penerbangan kembali beroperasi seperti biasa.

Serangan berkenaan berlaku selepas pihak berkuasa Arab Saudi mengeluarkan amaran serangan udara pada awal pagi, yang pertama sejak pertempuran di negara jiran Yaman meningkat bulan ini.

Penduduk Riyadh memaklumkan terdengar beberapa letupan bergema di beberapa kawasan ibu negara itu.

Dalam perkembangan berkaitan, Houthi kini melancarkan serangan besar-besaran dengan menguasai kawasan yang luas, ketika kerajaan Yaman yang diiktiraf antarabangsa dan disokong Arab Saudi berusaha menangani perkembangan berkenaan.-AFP

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.