Badminton Terbuka Jepun: Jimmy-Su Yin ke separuh akhir, singkir beregu ketiga dunia

Jimmy-Su Yin dijadual berdepan pasangan Hong Kong Tang Chun Man-Tse Ying Suet pada aksi separuh akhir Terbuka Jepun, esok – Foto RTM

TOKYO, 17 Julai – Pasangan beregu campuran negara, Jimmy Wong-Cheng Su Yin meneruskan aksi cemerlang apabila mara ke separuh akhir Terbuka Jepun 2026 selepas menewaskan pasangan nombor tiga dunia dari Denmark, Mathias Christiansen-Alexandra Boje, hari ini.

RINGKASAN BERITA AI
  • Menundukkan juara Terbuka Indonesia 21-17, 21-17 dalam 39 minit pada suku akhir.
  • Kemenangan itu merupakan kemenangan ketiga ke atas pasangan ranking sepuluh teratas sejak digandingkan.
  • Sebelum itu menyingkirkan pilihan keenam Thom Gicquel-Delphine Delrue 23-21, 24-22 untuk ke suku akhir.

Pada aksi suku akhir di Gimnasium Metropolitan Tokyo, pasangan negara itu mempamerkan persembahan bertenaga untuk menundukkan juara Terbuka Indonesia itu, 21-17, 21-17 dalam tempoh 39 minit.

Kemenangan tersebut menyaksikan Jimmy-Su Yin terus mencuri tumpuan apabila meraih kemenangan ketiga ke atas pasangan ranking 10 terbaik dunia sejak digandingkan.

Lebih manis, mereka kini hanya selangkah lagi ke pentas final kejohanan bertaraf Super 750 itu.

Pada perlawanan separuh akhir esok, Jimmy-Su Yin bakal berdepan pasangan Hong Kong yang menghuni ranking kelapan dunia, Tang Chun Man-Tse Ying Suet.

Tang-Tse Ying mara ke kelompok empat terbaik selepas mengalahkan pasangan China, Jiang Zhen Bang-Wei Ya Xin 21-17, 21-13.

Pada pusingan sebelum ini, Jimmy-Su Yin turut mencipta kejutan apabila menyingkirkan pilihan keenam kejohanan dari Perancis, Thom Gicquel-Delphine Delrue 23-21, 24-22 untuk melakar penampilan sulung di suku akhir.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.