
KUALA LUMPUR, 21 September – Bekas Timbalan Menteri Pembangunan Luar Bandar dan Ahli Parlimen Kota Belud, Allahyarham Datuk Yahya Lampong, meninggal dunia hari ini pada usia 86 tahun.
- Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim merakamkan ucapan takziah dan doa kepada keluarga Allahyarham melalui hantaran di Facebook.
- Allahyarham pernah menjadi Ahli Parlimen Kota Belud dari 1982 hingga 1986, memenangi kerusi atas tiket Bebas.
- Beliau juga wakil rakyat DUN Tempasuk (USNO, 1985 hingga 1986), memulakan politik bersama BERJAYA (1981) dan bertanding Papar bagi PKR (2013).
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim merakamkan ucapan takziah kepada keluarga Allahyarham yang meninggal dunia di sebuah hospital di Kuala Lumpur kira-kira 6 pagi tadi.
Menerusi hantaran di Facebook, Anwar berkata beliau menerima khabar duka mengenai pemergian Allahyarham Yahya.
“Salam takziah buat seluruh keluarga Allahyarham. Semoga Allah SWT mengampuni segala dosa, menerima amal kebajikan dan menempatkan Allahyarham dalam kalangan orang beriman. Al-Fatihah,” katanya.
Allahyarham Yahya pernah berkhidmat sebagai Ahli Parlimen Kota Belud dari 1982 hingga 1986 selepas memenangi kerusi berkenaan atas tiket Bebas pada Pilihan Raya Umum 1982.
Beliau turut menjadi wakil rakyat Dewan Undangan Negeri (DUN) Tempasuk atas tiket Parti Pertubuhan Kebangsaan Sabah Bersatu (USNO) dari 1985 hingga 1986.
Kerjaya politik Allahyarham bermula pada 1981 apabila bertanding kerusi DUN Usukan atas tiket Parti Bersatu Rakyat Jelata Sabah (BERJAYA).
Allahyarham turut bertanding kerusi Parlimen Papar mewakili PKR pada Pilihan Raya Umum 2013.