
KUALA LUMPUR, 21 September – Seramai 9,182 belia yang layak telah melengkapkan kursus wajib Inisiatif Rakyat Digital setakat 17 September lalu, manakala 7,372 daripadanya menebus akses percuma kepada alat kecerdasan buatan (AI).
- Lebih ramai belia memperkukuh kemahiran digital dan AI bagi menghadapi masa depan yang dipacu teknologi.
- Penyertaan tertinggi direkodkan di Selangor, Johor, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Pulau Pinang dan Perak.
- Kerajaan menggalakkan lebih ramai belia menyertai untuk memastikan akses kemahiran, teknologi dan peluang digital dinikmati semua.
Menteri Digital, Gobind Singh Deo berkata perkembangan itu menunjukkan semakin ramai belia mengambil langkah memperkukuh kemahiran bagi menghadapi masa depan yang dipacu teknologi digital dan AI.
Katanya, Selangor, Johor, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Pulau Pinang dan Perak mencatatkan penyertaan tertinggi setakat ini.
Beliau dalam hantaran di Facebook hari ini turut menggalakkan lebih ramai belia menyertai inisiatif berkenaan yang terbuka kepada golongan muda di seluruh negara.
Menurutnya, penyertaan lebih meluas akan memastikan akses kepada kemahiran, teknologi dan peluang digital dapat dinikmati lebih ramai rakyat.
Gobind berkata usaha memperkasa lebih ramai rakyat dengan kemahiran digital penting bagi membina masa depan digital yang kukuh dan inklusif.