
SEREMBAN, 21 September – Kesinambungan dan kestabilan pentadbiran Negeri Sembilan menjadi harapan rakyat bagi memastikan kebajikan, pembangunan serta penyampaian perkhidmatan kerajaan terus berjalan lancar.
- Perkembangan semasa perlu ditangani menurut lunas undang-undang tanpa menjejaskan urusan harian dan agenda pembangunan.
- Semua pihak digesa bermusyawarah, termasuk bersama Yang Dipertuan Besar, untuk mencari titik persamaan demi masa depan negeri.
- Golongan muda mahu perhatian kepada peluang pekerjaan, pendidikan dan pembangunan generasi, serta suara mereka terus didengar.
- Peniaga mahukan kelancaran urusan kerajaan agar aktiviti ekonomi berterusan dan keyakinan masyarakat tidak terjejas.
Rata-rata mereka mahu sebarang perkembangan semasa ditangani mengikut lunas undang-undang, tanpa menjejaskan urusan harian rakyat dan agenda pembangunan negeri.
Tinjauan RTM mendapati kestabilan pentadbiran penting bagi memastikan perkhidmatan awam serta pelaksanaan program pembangunan dapat diteruskan seperti biasa.
Bagi Hadi Abdul Malek, yang bekerja sendiri, semua pihak perlu bermusyawarah bagi mencari titik persamaan demi kepentingan masa depan Negeri Sembilan.
“Kita harapkan perkara ini dapat diatasi dengan segera mengikut lunas undang-undang. Kita juga perlu bermuhasabah dan bermusyawarah bersama Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan supaya dapat mencari satu titik persamaan demi Negeri Sembilan yang lebih gemilang dan terbilang pada masa hadapan, termasuk untuk anak cucu kita,” katanya kepada media.
Sementara itu, golongan muda berharap agenda membabitkan peluang pekerjaan, pendidikan dan pembangunan generasi muda terus diberi perhatian.
Muhammad Amir Afham Anuar, pelajar, berkata suara golongan muda perlu terus didengar dalam perancangan pembangunan negeri.
“Saya harap kepimpinan negeri terus beri perhatian kepada peluang pekerjaan, pendidikan dan masa depan anak muda. Yang penting, suara golongan muda juga terus didengar,” katanya kepada media.
Dalam pada itu, peniaga berharap keadaan kekal stabil bagi memastikan aktiviti ekonomi dan perniagaan dapat diteruskan tanpa gangguan.
Suraya Yahya, peniaga, berkata kelancaran urusan pentadbiran kerajaan penting bagi mengekalkan keyakinan masyarakat serta kelangsungan perniagaan.
“Sebagai peniaga, saya harap keadaan kekal stabil dan urusan kerajaan berjalan seperti biasa. Ini penting supaya perniagaan dapat diteruskan dan keyakinan masyarakat tidak terjejas,” katanya kepada media.