Penggunaan swasta pacu pertumbuhan KDNK suku kedua

Ketua Ekonomi Kumpulan AmBank, Firdaos Rosli/Foto BERNAMA

KUALA LUMPUR, 17 Julai – Penggunaan swasta yang kekal kukuh dikenal pasti sebagai antara faktor utama yang mendorong pertumbuhan awal Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) Malaysia kepada 5.8 peratus bagi suku kedua 2026.

RINGKASAN BERITA AI
  • Jualan kenderaan memberangsangkan dan sektor perkhidmatan meningkat susulan aktiviti ekonomi sepanjang musim perayaan.
  • Insentif kerajaan dan harga bahan api terkawal menyokong peningkatan perbelanjaan pengguna serta penggunaan domestik.
  • AmBank menyemak naik unjuran KDNK tahunan kepada 4.8 peratus, namun jangkaan penyederhanaan pertumbuhan pada separuh kedua tahun ini.

Ketua Ekonomi Kumpulan AmBank, Firdaos Rosli berkata, pertumbuhan itu turut disokong oleh prestasi jualan kenderaan yang memberangsangkan serta perkembangan positif sektor perkhidmatan susulan peningkatan aktiviti ekonomi sepanjang musim perayaan.

“Angka itu tidak jauh berbeza daripada jangkaan kami sebelum ini iaitu 5.6 peratus. Namun, berdasarkan angka rasmi DOSM, pertumbuhan KDNK mencecah 5.8 peratus dan pada pandangan kami, ini berkemungkinan merupakan pertumbuhan ekonomi terbaik Malaysia bagi tahun ini,” katanya kepada pemberita RTM.

Firdaos berkata, pelbagai insentif kerajaan turut membantu meningkatkan perbelanjaan pengguna, manakala harga bahan api yang masih terkawal terus menyokong aktiviti penggunaan domestik.

Beliau menjangkakan pertumbuhan ekonomi akan menyederhana sedikit pada separuh kedua tahun ini berikutan kesan asas daripada tahun sebelumnya serta jangkaan peningkatan inflasi.

Dalam perkembangan sama, AmBank menyemak naik unjuran pertumbuhan KDNK Malaysia bagi keseluruhan tahun ini kepada 4.8 peratus berbanding 4.5 peratus sebelum ini susulan prestasi ekonomi negara yang lebih kukuh daripada jangkaan meskipun berdepan ketidaktentuan global.

Terdahulu, Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) mengunjurkan ekonomi negara berkembang 5.8 peratus pada suku kedua 2026 selepas merekodkan pertumbuhan 5.4 peratus pada suku pertama, disokong peningkatan dalam hampir semua sektor ekonomi kecuali pertanian.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.