UCO bahan mentah strategik bagi biodiesel, bahan api penerbangan lestari


Menteri Perladangan dan Komoditi Datuk Seri Dr. Noraini Ahmad berucap pada Majlis Pelancaran Program OIL2RECYCLE Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) di sini hari ini. / Foto FB KPK

BATU PAHAT, 17 Julai – Minyak masak terpakai (UCO) kini diiktiraf sebagai bahan mentah strategik bagi pengeluaran biodiesel dan Bahan Api Penerbangan Lestari (SAF), sekali gus menyokong industri tenaga mampan negara.

RINGKASAN BERITA AI
  • Kejayaan program OIL2RECYCLE mengumpul 1,887.7 tan UCO dengan penyertaan lebih 136,000 orang awam menunjukkan perubahan tabiat dan nilai sumber.
  • Program berkembang daripada tiga stesen PETRONAS pada 2023 kepada 100 stesen kini, memperluas rangkaian pengumpulan.
  • Kementerian melibatkan institusi pengajian tinggi dan UTHM sebagai kampus contoh untuk memupuk budaya ekonomi kitaran dan menyokong bekalan bahan mentah.

Menteri Perladangan dan Komoditi Datuk Seri Dr. Noraini Ahmad berkata perkembangan itu membuka ruang untuk memperkukuh rantaian bekalan tenaga boleh diperbaharui serta menggalakkan amalan ekonomi kitaran.

Sehingga Jun 2026, sebanyak 1,887.7 tan UCO berjaya dikumpulkan menerusi Program OIL2RECYCLE dengan penyertaan lebih 136,000 orang awam.

“Angka ini bukan sekadar statistik. Ia mewakili ribuan individu yang telah mengubah tabiat daripada membuang minyak kepada mengumpulkannya sebagai satu sumber yang bernilai,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Pelancaran Program OIL2RECYCLE Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) di sini hari ini.

Datuk Seri Dr. Noraini berkata program itu berkembang daripada tiga stesen PETRONAS semasa diperkenalkan pada 2023 kepada 100 stesen di seluruh negara ketika ini.

“Stesen PETRONAS yang ke-100 menyertai program ini ialah Stesen PETRONAS Parit Bintang yang dilancarkan pada 20 Jun 2026,” katanya.

Beliau berkata kementeriannya turut menjadikan institusi pengajian tinggi serta mahasiswa sebagai pemangkin budaya pengumpulan UCO bagi memperkukuh ekosistem ekonomi kitaran.

Penglibatan UTHM sebagai kampus contoh dijangka membantu membentuk mahasiswa yang cakna terhadap ekonomi kitaran, selain menyokong bekalan bahan mentah kepada industri tenaga mampan.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.