Defisit fiskal 2026 berupaya capai sasaran 3.5 Peratus KDNK

Sasaran berupaya direalisasikan dengan sokongan pertumbuhan ekonomi nominal yang lebih tinggi

KUALA LUMPUR, 17 Julai – Defisit fiskal negara bagi 2026 dijangka mampu mencapai sasaran 3.5 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK).

RINGKASAN BERITA AI
  • Sasaran boleh direalisasikan dengan sokongan pertumbuhan nominal lebih tinggi, penguatkuasaan fiskal lebih berkesan dan peningkatan hasil bukan cukai.
  • Risiko peningkatan defisit kepada 3.6 peratus jika harga minyak global kekal tinggi pada suku ketiga dan keempat.
  • Kutipan hasil kerajaan meningkat, 40.3 peratus dalam lima bulan pertama, memberi ruang fiskal untuk meneruskan perbelanjaan BUDI.

Ketua Ekonomi Kumpulan AmBank, Firdaos Rosli berpendapat sasaran berupaya direalisasikan dengan sokongan pertumbuhan ekonomi nominal yang lebih tinggi, penguatkuasaan fiskal lebih berkesan serta peningkatan hasil bukan cukai.

“Ketika ini, kami menjangkakan defisit fiskal berada pada paras 3.5 peratus. Namun, terdapat tekanan yang boleh menyebabkan defisit fiskal meningkat sedikit, mungkin kepada 3.6 peratus.

“Bagaimanapun, ia bergantung kepada perkembangan harga minyak global suku ketiga dan keempat. Defisit fiskal berkemungkinan meningkat sedikit sekiranya harga minyak global terus berada pada paras yang lebih tinggi,”jelasnya pada taklimat media mengenai Tinjauan Ekonomi Mikro bagi Separuh Kedua 2026.

Beliau turut memaklumkan, peningkatan kutipan hasil kerajaan dalam tempoh lima bulan pertama tahun ini menunjukkan prestasi hasil kerajaan berada pada tahap lebih tinggi, sekali gus memberi ruang fiskal kepada kerajaan untuk meneruskan perbelanjaan bagi inisiatif BUDI.

“Bagi tempoh lima bulan pertama, kutipan hasil telah mencapai 40.3 peratus, berbanding 36.7 peratus dalam tempoh sama tahun lepas, malah lebih tinggi berbanding tahun sebelumnya. Ini bermakna kutipan hasil kerajaan sebenarnya jauh lebih tinggi daripada sebelum ini,” katanya lagi.

Sebelum ini, Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan memberitahu defisit fiskal negara dijangka terus berkurangan kepada 3.5 peratus daripada KDNK pada 2026 berbanding 3.7 peratus pada tahun sebelumnya, mencerminkan usaha konsolidasi fiskal kerajaan yang semakin kukuh.

Sementara itu, mengulas mengenai prospek ringgit, beliau menjangkakan mata wang tempatan itu berpotensi kembali mengukuh pada separuh kedua tahun ini dengan dagangan sekitar RM4.05 hingga RM4.10 berbanding dolar Amerika.

Jangkaan tersebut, akuinya disokong asas makroekonomi Malaysia yang kekal kukuh, termasuk kedudukan fiskal yang lebih baik serta daya tahan ekonomi negara, walaupun berdepan ketidaktentuan global.

Bagaimanapun, prestasi ringgit itu masih bergantung kepada beberapa faktor luaran termasuk perubahan dasar kadar faedah global, hala tuju Rizab Persekutuan AS (Fed) serta permintaan terhadap dolar.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.