Kerajaan cari langkah selesai isu eksport udang, siakap ke Thailand

Facebook Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan

KUALA LUMPUR, 16 Julai- Usaha menangani isu perdagangan produk agromakanan termasuk sekatan eksport udang dan pemeriksaan ketat terhadap eksport ikan siakap Malaysia ke Thailand menjadi antara fokus Mesyuarat Majlis Keterjaminan Makanan Negara (MKMN) Bilangan 1 Tahun 2026 semalam.

RINGKASAN BERITA AI
  • Isu sekatan eksport udang ke Thailand berlarutan sejak 2017 dan sekatan import Thailand bermula 1 Jun.
  • Risiko El Nino dan perubahan iklim mengancam pengeluaran makanan; KPKM sediakan strategi pencegahan dan penyesuaian.
  • Mesyuarat tetapkan hala tuju keterjaminan makanan negara serta cadang strategi berimpak tinggi untuk sektor agromakanan.
  • Inisiatif termasuk penghasilan protein alternatif, pengukuhan daya saing industri pertanian dan pemerkasaan perkhidmatan slipway LKIM.

Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu berkata mesyuarat yang dipengerusikan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim itu turut membincangkan cabaran sektor agromakanan termasuk kesan perubahan iklim terhadap pengeluaran makanan negara.

Beliau berkata antara isu perdagangan yang diberi perhatian ialah sekatan eksport udang Malaysia ke Thailand yang berlarutan sejak 2017, sekatan import udang Thailand ke Malaysia yang berkuat kuasa mulai 1 Jun lalu, selain pemeriksaan ketat terhadap eksport ikan siakap Malaysia ke negara berkenaan.

Katanya, mesyuarat itu turut membincangkan permohonan akses pasaran produk ternakan ke Thailand yang masih tertunggak sejak 2024.

Pada masa sama, Datuk Seri Mohamad berkata kerajaan menyedari implikasi fenomena El Nino dan perubahan iklim terhadap risiko kemarau berpanjangan yang boleh mengancam sektor pengeluaran makanan tempatan.

“Rentetan daripada cabaran krisis tersebut, Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) telah menyediakan pelbagai strategi pencegahan, penyesuaian dan perlindungan bagi pengusaha sektor pertanian,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata mesyuarat MKMN bertujuan menetapkan hala tuju keterjaminan makanan negara yang lebih menyeluruh serta mengesyorkan strategi berimpak tinggi bagi menangani pelbagai isu sektor agromakanan.

Menurutnya, antara inisiatif lain yang dibincangkan ialah kebolehlaksanaan serta cadangan hala tuju penghasilan sumber protein alternatif di Malaysia, pengukuhan daya saing industri pertanian tempatan serta strategi memperkasakan perkhidmatan dan operasi slipway Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM).

Datuk Seri Mohamad berkata mesyuarat itu turut dimaklumkan mengenai penganjuran Pameran Pertanian, Hortikultur dan Agropelancongan Malaysia (MAHA) 2026 yang akan berlangsung dari 28 Ogos hingga 6 September ini di Taman Ekspo Pertanian Malaysia Serdang (MAEPS), Serdang.

Beliau berkata acara dwitahunan itu merupakan platform utama negara dalam memacu transformasi sektor agromakanan ke tahap lebih dinamik.

“Keterjaminan makanan adalah keutamaan nasional yang memerlukan komitmen kolektif. Justeru, pelaksanaan kerjasama strategik yang holistik antara semua pihak amat penting bagi menjamin kemampanan sistem makanan negara, sekali gus memastikan Malaysia terus berdaya tahan mendepani dinamik cabaran global,” katanya.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.