
HANOI, 15 Julai – Polis Vietnam menahan tiga pegawai kanan sebuah syarikat penerbitan selepas menerbitkan buku mengenai pengasas Parti Komunis Vietnam, Ho Chi Minh, yang didakwa mengandungi maklumat bercanggah dengan pendirian kerajaan.
- Pengarang dituduh menulis kandungan yang memutarbelitkan sejarah revolusi serta dasar dan hala tuju parti.
- Nam ditahan sebelumnya; penerbit menarik semula buku dan Nam meminta maaf di televisyen atas kesilapan fakta.
- Kementerian mengenakan denda kepada 23 media hampir AS$2,500 dan beberapa kakitangan dikenakan tindakan disiplin; kawalan politik ketat di Vietnam.
Tiga individu yang ditahan ialah pengarah, ketua pengarang dan ketua lembaga editorial Vietnam Writers’ Association Publishing House yang menerbitkan buku bertajuk ‘Stories with Thanh – A New Account of Light’ pada Mei lalu.
Menurut polis Hanoi, mereka didakwa melakukan kesalahan menghasilkan, menyimpan, mengedar atau menyebarkan maklumat serta dokumen yang dianggap bertujuan menentang Republik Sosialis Vietnam.
Buku tulisan bekas eksekutif telekomunikasi, Nguyen Thanh Nam, menceritakan perjalanan Ho Chi Minh ketika berada di luar negara dalam usaha mencari jalan bagi membangkitkan gerakan pembebasan nasional Vietnam.
Namun, pihak berkuasa mendakwa kandungan buku itu “memutarbelitkan sejarah revolusi serta dasar dan hala tuju parti serta kerajaan”.
Nam sebelum ini ditahan pada awal Julai atas tuduhan berkaitan anti-negara, bersama seorang pempengaruh media sosial yang mempromosikan buku berkenaan.
Susulan tekanan pihak berkuasa, penerbit telah menarik semula edaran buku tersebut.
Nam juga membuat permohonan maaf menerusi siaran televisyen nasional, dengan mengakui terdapat kesilapan fakta yang boleh menjejaskan imej Presiden Ho Chi Minh.
Dalam perkembangan sama, Kementerian Kebudayaan Vietnam mengenakan tindakan terhadap 23 organisasi media yang menerbitkan laporan memuji buku berkenaan.
Kesemua organisasi itu dikenakan denda hampir AS$2,500 (kira-kira RM10,500), manakala beberapa kakitangan terlibat turut dikenakan tindakan disiplin.
Vietnam yang diperintah Parti Komunis secara ketat mengawal kandungan politik dan sering mengambil tindakan terhadap individu yang dianggap mencabar pendirian kerajaan.
Human Rights Watch melaporkan lebih 160 pengkritik kerajaan kini berada dalam tahanan.-AFP