Bekas Menteri Luar Hungary letak jawatan Parlimen demi jawatan eksekutif di BYD

Bekas Menteri Luar dan Perdagangan Hungary, Peter Szijjarto / AFP

BUDAPEST, 15 Julai -Bekas Menteri Luar dan Perdagangan Hungary, Peter Szijjarto, bertindak meletakkan jawatan sebagai penggubal undang-undang untuk menyertai syarikat automotif terkemuka China, BYD

RINGKASAN BERITA AI
  • Szijjarto kini eksekutif hubungan luar dan pembangunan barisan perniagaan baharu BYD.
  • Pelantikan beliau menimbulkan kebimbangan konflik kepentingan kerana BYD menjadikan Hungary hab utama.
  • BYD menerima sokongan kewangan kerajaan semasa Orban, termasuk laporan bantuan sekitar AS$450 juta.
  • Perdana Menteri Peter Magyar dakwa Szijjarto melobi subsidi besar untuk BYD dan kini dibayar oleh majikan sebenar.

Szijjarto mendedahkan beliau kini menggalas tanggungjawab sebagai eksekutif hubungan luar dan perniagaan baharu BYD, syarikat yang sebelum ini menerima geran bernilai berbilion-bilion daripada kerajaan pimpinan bekas Perdana Menteri Viktor Orban ketika mengetuai kementerian luar.

Szijjarto, 47, yang telah berkhidmat sebagai ahli parlimen sejak tahun 2002, mengumumkan peletakan jawatannya menerusi hantaran di Facebook dengan menyatakan beliau menerima “tawaran yang sangat berprestij” daripada BYD, yang disifatkannya sebagai antara syarikat terkemuka di dunia.

“Bermula hari ini, saya akan meneruskan tugas sebagai eksekutif yang bertanggungjawab bagi hubungan luar kumpulan dan pembangunan barisan perniagaan baharu,” kata beliau yang juga merupakan sekutu rapat Orban.

Sebagai menteri luar dari tahun 2014 hingga Mei lalu, Szijjarto terlibat secara langsung dalam usaha kerajaan menjalinkan hubungan rapat dengan China, khususnya dengan BYD.

Pelantikan tersebut mencetuskan pertikaian berhubung konflik berkepentingan memandangkan BYD kini menjadikan negara Eropah tengah itu sebagai hab utamanya sejak kebelakangan ini.

Malah dilaporkan, BYD turut menerima sokongan kewangan keseluruhan sekitar AS$450 juta (RM1.9 bilion) daripada kerajaan pimpinan Orban sebelum ini.

Perdana Menteri Peter Magyar, yang berjaya menumbangkan Orban selepas 16 tahun berkuasa dalam pilihan raya pada April lalu, mendakwa Szijjarto sudah lama “mewakili kepentingan asing” dan secara aktif “melobi bagi memastikan subsidi negara yang besar” disalurkan kepada BYD.

“Satu-satunya perbezaan sekarang ialah Peter Szijjarto tidak lagi dibayar oleh rakyat Hungary untuk melakukan ‘kerja’ yang sama, sebaliknya dibayar oleh majikan sebenar beliau,” kata Magyar, yang mengetuai parti konservatif pro-Eropah, menerusi hantaran di Facebook.

BYD memulakan pembinaan kilang pengeluaran kereta elektrik pertamanya di Eropah di bandar Szeged, selatan Hungary pada tahun 2024, dan mengumumkan pemindahan pusat korporat serta penyelidikan serantaunya dari Belanda ke Budapest pada tahun lalu.

Tahun lepas, Szijjarto mengumumkan kerajaan memperuntukkan dana pembayar cukai sebanyak 20 bilion forint (AS$64 juta) untuk BYD membuka pusat penyelidikannya di Budapest.

Sementara itu, kilang BYD di Szeged, yang masih belum memulakan pengeluaran secara rasmi, turut menerima jumlah subsidi kerajaan yang tidak didedahkan.

Namun laman portal penyiasatan Atlatszo menganggarkan jumlah keseluruhan subsidi tersebut mencecah antara AS$120 bilion hingga AS$130 bilion . – AFP

Sepanjang memegang jawatan menteri luar, Szijjarto sering dikenali dengan pendekatan diplomasi yang lantang terhadap diplomat Eropah selain kerap melakukan lawatan rasmi ke Rusia. – AFP

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.