Bangladesh sita aset RM27 bilion milik bekas PM Sheikh Hasina, sekutu perniagaan

Bekas Perdana Menteri Bangladesh, Sheikh Hasina / REUTERS

DHAKA, 16 Julai – Pihak berkuasa Bangladesh merampas aset bernilai 760 bilion taka atau (RM27.1 bilion) yang dikaitkan dengan bekas Perdana Menteri Sheikh Hasina yang digulingkan.

RINGKASAN BERITA AI
  • BFIU mendedahkan sebahagian besar aset disita dalam negara, baki 190 bilion taka dilarikan ke luar negara.
  • Sejumlah 98 kes dibuka setakat ini sebagai sebahagian siasatan terhadap Hasina dan sekutu mereka.
  • Hasina disabitkan secara in absentia termasuk kes rasuah pengagihan tanah dan hukuman mati bagi jenayah terhadap kemanusiaan.
  • Kerajaan menuntut ekstradisi; Menteri Dalam Negeri mahu Hasina pulang untuk menghadapi tindakan undang-undang, mahkamah tentukan kemungkinan rayuan.

Rampasan berskala besar itu dilakukan susulan siasatan menyeluruh terhadap kekayaan Hasina dan sekutunya yang dituduh mengaut keuntungan luar biasa sepanjang 15 tahun pentadbiran beliau, sebelum ditumbangkan dalam kebangkitan rakyat pada Ogos 2024.

Unit Perisikan Kewangan Bangladesh (BFIU) mendedahkan sebahagian besar aset berkenaan disita di dalam negara manakala baki 190 bilion taka lagi melibatkan aset yang dilarikan ke luar negara.

Ketua agensi berkenaan, Ikhtiar Mohammad Mamun, berkata sebanyak 98 kes telah dibuka setakat ini sebagai sebahagian daripada siasatan terhadap Hasina dan pihak yang bersekutu dengannya.

“Kami masih berusaha untuk mendapatkan semula wang yang dipindahkan secara haram ke luar negara. Kami berharap dapat berkongsi perkembangan positif menjelang penghujung tahun ini,” kata Mamun.

Sejak digulingkan dalam kebangkitan besar-besaran yang diterajui oleh golongan mahasiswa itu, Hasina telah disabitkan kesalahan secara in absentia (tanpa kehadiran) dalam beberapa kes mahkamah.

Ini termasuk kes rasuah berkaitan pengagihan lot-lot tanah di kawasan mewah di ibu negara, Dhaka, selain hukuman mati yang dijatuhkan oleh mahkamah atas pertuduhan melakukan jenayah terhadap kemanusiaan.

Hasina kini berada di India sejak melarikan diri dari Bangladesh pada Ogos 2024, dan baru-baru ini menyatakan hasratnya untuk pulang ke tanah air menjelang akhir tahun ini.

Sementara itu, Menteri Dalam Negeri Salahuddin Ahmed menegaskan bahawa kerajaan, yang telah menuntut ekstradisi Hasina, mahu memastikan beliau pulang untuk menghadapi tindakan undang-undang.

“Keputusan mahkamah akan dilaksanakan. Mahkamah yang akan menentukan sama ada masih ada ruang untuk rayuan atau tidak,” katanya. – AFP

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.