Ringgit ditutup mendatar berbanding dolar Amerika

Foto hiasan /BERNAMA

KUALA LUMPUR, 15 Julai – Ringgit ditutup hampir tidak berubah berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) hari ini berikutan kebimbangan mengenai prestasi ekonomi China yang lemah dan ketegangan geopolitik baharu mengimbangi impak data inflasi AS yang lebih rendah daripada jangkaan.

RINGKASAN BERITA AI
  • China catat pertumbuhan 4.3% suku kedua 2026, turun daripada 5.0% suku pertama, menyebabkan dagangan ringgit berhati-hati.
  • Gencatan senjata Asia Barat dilihat tidak stabil selepas ancaman serangan AS terhadap Iran, menambah risiko geopolitik.
  • Ringgit diniagakan kebanyakannya rendah berbanding mata wang utama, merosot berbanding pound dan euro tetapi naik berbanding yen.
  • Berbanding rakan serantau, ringgit lemah terhadap dolar Singapura, rupiah dan peso; mengukuh berbanding baht.

Pada 6 petang, mata wang tempatan dicatatkan pada 4.0760/0805 berbanding dolar AS daripada 4.0760/0800 semasa ditutup pada Selasa.

Ketua Ahli Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata walaupun bacaan Indeks Harga Pengguna (IHP) AS yang dikeluarkan semalaman adalah lebih rendah daripada jangkaan, tumpuan pasaran dilihat beralih kepada pertumbuhan ekonomi China yang lembap.

Ekonomi China berkembang sebanyak 4.3 peratus pada suku kedua 2026, lebih rendah daripada 5.0 peratus pada suku pertama, mendorong dagangan ringgit diniagakan secara berhati-hati sepanjang hari.

“Sementara itu, gencatan senjata di Asia Barat dilihat tidak stabil berikutan ancaman Presiden AS Donald Trump untuk melancarkan serangan pengeboman ke atas Iran jika negara itu tidak menghentikan serangan terhadap kapal yang melalui Selat Hormuz,” katanya.

Pada sesi penutup dagangan, ringgit diniagakan kebanyakannya rendah berbanding sekumpulan mata wang utama.

Ia rendah berbanding pound kepada 5.4578/4638 daripada 5.4533/4586 semasa ditutup pada Selasa dan menurun berbanding euro kepada 4.6536/6587 daripada 4.6470/6516 sebelum ini.

Bagaimanapun, mata wang tempatan meningkat berbanding yen Jepun kepada 2.5103/5132 daripada 2.5131/5157 semalam.

Ringgit turut diniagakan kebanyakannya rendah berbanding mata wang serantau.

Ia rendah berbanding dolar Singapura kepada 3.1546/1583 daripada 3.1533/1567 semasa ditutup semalam, menurun berbanding rupiah Indonesia kepada 225.5/225.9 daripada 225.3/225.6 dan merosot berbanding peso Filipina kepada 6.61/6.62 daripada 6.60/6.61 sebelum ini.

Bagaimanapun, ringgit mengukuh berbanding baht Thailand kepada 12.1198/1371 daripada 12.1556/1722 sebelum ini. – BERNAMA

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.