Pindaan Akta Persaingan tingkatkan keupayaan MyCC, lindungi kepentingan pengguna

Ketua Pegawai Eksekutif MyCC, Datuk Iskandar Ismail / Foto RTM

ANGKASAPURI KOTA MEDIA, 15 Julai – Rang Undang-Undang (RUU) Persaingan (Pindaan) 2026 berupaya meningkatkan keupayaan Suruhanjaya Persaingan Malaysia (MyCC) untuk bertindak dengan lebih tangkas dalam penyiasatan dan penguatkuasaan.

RINGKASAN BERITA AI
  • Pindaan memperkenalkan mekanisme baru: aku janji, tawaran penyelesaian dan perlindungan pemberi maklumat bagi meningkatkan pematuhan perusahaan.
  • Mekanisme aku janji membolehkan syarikat hentikan amalan antipersaingan segera tertakluk syarat ketat; jika berulang, siasatan dibuka semula dan denda dikenakan.
  • Pindaan dijangka menangani kartel dan monopoli dengan lebih berkesan serta melindungi hak dan kepentingan pengguna.

Ketua Pegawai Eksekutif MyCC, Datuk Iskandar Ismail berkata, peningkatan keupayaan tersebut berikutan pindaan itu akan memperkenalkan mekanisme baharu termasuk aku janji, tawaran penyelesaian serta perlindungan kepada pemberi maklumat sekali gus, meningkatkan pematuhan perusahaan terhadap undang-undang persaingan.

Mekanisme aku janji jelasnya, dapat membolehkan syarikat yang disiasat menawarkan jaminan untuk menghentikan amalan antipersaingan secara serta-merta tertakluk syarat-syarat ketat yang ditetapkan MyCC.

“Sekiranya kesalahan sama diulangi, siasatan boleh dibuka semula dan denda boleh dikenakan.

“Objektif pindaan ini bukan semata-mata untuk menghukum tetapi mendidik perusahaan mengenai kepentingan memelihara persaingan yang sihat dalam pasaran,” katanya.

Mengulas lanjut katanya, pindaan tersebut turut diyakini dapat menangani kes kartel dan isu monopoli secara lebih berkesan demi melindungi hak dan kepentingan pengguna.

Beliau berkata demikian ketika ditemui di sini, hari ini.

Terdahulu, Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Armizan Mohd Ali mencadangkan pengukuhan penguatkuasaan terhadap amalan antipersaingan susulan peningkatan penggunaan teknologi dalam aktiviti kartel dan penyalahgunaan kedudukan monopoli.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.