Malaysia pacu pertumbuhan terbitan sukuk global separuh pertama 2026

Foto BERNAMA

KUALA LUMPUR, 15 Julai – Malaysia terus memacu pertumbuhan terbitan sukuk global pada separuh pertama 2026, didorong pengukuhan terbitan dalam mata wang tempatan, sekali gus mengimbangi penyusutan terbitan di negara-negara Majlis Kerjasama Teluk (GCC).

RINGKASAN BERITA AI
  • S&P mengekalkan unjuran terbitan sukuk 2026 antara AS$270 bilion hingga AS$280 bilion.
  • Pertumbuhan disokong oleh Qatar, Arab Saudi dan Turkiye walaupun ketegangan geopolitik terus menjadi risiko utama.
  • Kemerosotan terbitan di GCC berpunca daripada pengurangan hidrokarbon dan kelembapan ekonomi; risiko konflik boleh menjejaskan eksport dan keyakinan pelabur.

Menurut S&P Global Ratings, jumlah terbitan sukuk global mencecah AS$129 bilion pada separuh pertama tahun ini, meningkat daripada AS$112.3 bilion pada tempoh sama, tahun lalu.

Agensi penarafan itu dalam laporannya turut mengekalkan unjuran terbitan sukuk bagi keseluruhan 2026 antara AS$270 bilion hingga AS$280 bilion.

“Pertumbuhan terbitan akan terus dipacu terutamanya oleh pasaran mata wang tempatan khususnya Malaysia, yang mencatat pertumbuhan kukuh pada separuh pertama tahun ini sehingga mampu mengimbangi penurunan sembilan peratus terbitan di negara GCC susulan konflik di Asia Barat.

“Pertumbuhan terbitan sukuk turut disokong oleh Qatar, Arab Saudi dan Turkiye dan pasaran-pasaran ini dijangka terus menjadi pemacu utama pertumbuhan dalam keadaan ketegangan geopolitik yang berterusan serta persekitaran kadar faedah yang lebih ketat,” menurut agensi itu.

Menurut S&P, kemerosotan terbitan di GCC sebahagian besarnya berpunca daripada kelembapan ekonomi yang ketara pada separuh pertama 2026, susulan pengurangan pengeluaran hidrokarbon dan aktiviti ekonomi bukan minyak yang lebih perlahan.

Jelasnya lagi, walaupun memorandum persefahaman antara Iran dan Amerika Syarikat memberi harapan kepada pasaran, risiko tercetusnya semula konflik masih boleh menjejaskan eksport tenaga dan keyakinan pelabur asing.

Keadaan tersebut juga berpotensi mendorong bank-bank pusat di seluruh dunia mengambil dasar yang boleh memperlahankan pertumbuhan jumlah terbitan sukuk.

“Kami menjangkakan jumlah terbitan dalam mata wang asing akan terus meningkat, namun kekal di bawah paras 2025 selagi risiko geopolitik masih berterusan.

“Konflik serantau yang semakin meruncing kekal sebagai risiko utama. Secara keseluruhan, kami menjangkakan terbitan sukuk berkembang secara sederhana pada 2026, disokong oleh aktiviti kukuh dalam mata wang tempatan di Malaysia, dan mengekalkan unjuran keseluruhan tahun pada antara AS$270 bilion hingga AS$280 bilion,” katanya.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.