PRN Johor, apa yang kita belajar tentang literasi media pilihan raya

Pengundi warga emas, Zainudin Ab Jabar, 70 di Pusat Mengundi SMK Taman Molek sempena PRN Johor ke-16/Fail BERNAMA

SAUDARA PENGARANG

RINGKASAN BERITA AI
  • Cabaran utama: bukan kekurangan maklumat tetapi kemampuan memilih sumber boleh dipercayai dalam lautan kandungan digital.
  • Literasi media mesti membantu menilai konteks, mengenal pasti manipulasi, semak kredibiliti sumber dan bezakan fakta, pendapat serta propaganda.
  • Media arus perdana dan platform mesti proaktif: pantas dan telus dalam lapor, pantau serta betulkan kandungan palsu.
  • Literasi media perlu diajar sebagai kemahiran hidup; pendidikan dan komunikasi inklusif bagi warga emas, OKU dan pengundi muda.

Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor telah selesai. Keputusan telah diumumkan, kerajaan negeri baharu juga telah diketahui. Kini perhatian umum mula beralih kepada isu-isu lain.

Namun, di sebalik angka kemenangan dan analisis politik, terdapat satu perkara yang tidak sepatutnya berakhir bersama tamatnya kempen, iaitu bagaimana kita mengurus maklumat dalam era demokrasi digital.

Sepanjang tempoh PRN Johor, rakyat bukan sahaja disajikan dengan ceramah, manifesto dan liputan media. Mereka juga dibanjiri video pendek, poster digital, siaran langsung, mesej WhatsApp, tangkap layar yang tidak diketahui sumbernya, klip ucapan di luar konteks serta pelbagai dakwaan yang bergerak lebih pantas daripada penjelasan rasmi.

Fenomena ini menunjukkan bahawa cabaran pilihan raya hari ini bukan lagi kekurangan maklumat. Sebaliknya, cabaran sebenar ialah bagaimana rakyat memilih maklumat yang boleh dipercayai dalam lautan kandungan yang semakin padat.

Sepanjang kempen, pihak berkuasa mengingatkan orang ramai mengenai kewujudan akaun palsu, penyamaran identiti calon, penyebaran berita palsu dan ucapan kebencian. Laporan selepas hari pengundian turut menunjukkan puluhan aduan diterima berkaitan kandungan sedemikian.

Walaupun jumlah tersebut mungkin kecil berbanding jutaan kandungan yang dikongsi setiap hari, ia memberi gambaran bahawa ruang digital memerlukan perhatian yang lebih serius.

Hakikatnya, demokrasi moden tidak hanya berlangsung di pusat mengundi. Ia juga berlaku di telefon pintar, dalam kumpulan WhatsApp keluarga, di TikTok, Facebook, Instagram dan Telegram. Di ruang-ruang inilah persepsi dibentuk sebelum seseorang melangkah masuk ke saluran mengundi.

Oleh sebab itu, literasi media tidak boleh lagi difahami sekadar keupayaan membezakan berita benar atau palsu. Literasi media hari ini perlu membantu rakyat memahami konteks sesuatu maklumat, mengenal pasti kandungan yang dimanipulasi, menilai kredibiliti sumber dan membezakan antara fakta, pendapat serta propaganda.

Ramai pengguna sebenarnya berkongsi kandungan bukan kerana mereka yakin maklumat itu benar, tetapi kerana kandungan tersebut membangkitkan emosi. Kandungan yang membuat kita marah, takut atau terkejut lebih mudah ditekan butang “kongsi” berbanding penjelasan yang panjang dan seimbang. Di sinilah cabaran terbesar komunikasi digital hari ini.

Media arus perdana juga mempunyai tanggungjawab yang semakin penting. Dalam suasana maklumat bergerak pantas, media bukan sekadar melaporkan kenyataan atau konflik politik. Media perlu menjadi penjernih maklumat.

Perbandingan manifesto, semakan fakta, penjelasan prosedur pilihan raya dan penerangan isu tempatan sering kali lebih membantu rakyat daripada liputan pertikaman lidah antara ahli politik.

Pada masa yang sama, platform media sosial perlu menunjukkan tanggungjawab yang lebih proaktif. Mekanisme pelaporan kandungan palsu perlu lebih pantas, telus dan mudah difahami.

Pembetulan yang dibuat beberapa jam selepas sesuatu dakwaan tular mungkin sudah terlambat kerana persepsi awam telah terbentuk. Dalam komunikasi krisis, masa merupakan faktor yang sangat penting.

Institusi pendidikan juga mempunyai peranan yang tidak kurang besarnya. Literasi media perlu diterapkan sebagai kemahiran hidup, bukan hanya sebagai topik sampingan dalam bilik kuliah.

Pelajar perlu dilatih untuk bertanya beberapa soalan mudah sebelum mempercayai sesuatu kandungan: Siapa sumber asalnya? Adakah kandungan ini lengkap atau dipotong? Adakah terdapat bukti lain yang menyokong dakwaan tersebut? Mengapa kandungan ini mahu saya berasa marah atau takut?

Pengalaman PRN Johor juga mengingatkan kita bahawa pengundi muda bukan sekadar pengguna media sosial yang aktif. Mereka merupakan kelompok yang semakin besar dalam proses demokrasi negara.

Oleh itu, usaha meningkatkan literasi media perlu mengambil kira cara golongan ini mendapatkan maklumat, berinteraksi dengan kandungan digital dan membuat keputusan.

Lebih penting lagi, komunikasi yang inklusif tidak boleh diketepikan. Maklumat pilihan raya perlu mudah diakses oleh warga emas, orang kurang upaya, pengundi kali pertama dan mereka yang mempunyai tahap literasi digital yang berbeza.

Demokrasi hanya benar-benar inklusif apabila setiap rakyat mempunyai peluang yang sama untuk memahami maklumat sebelum membuat keputusan.

PRN Johor telah berakhir, tetapi pengajaran mengenainya masih relevan. Tidak lama lagi negara akan melalui satu lagi proses pilihan raya negeri. Pengalaman yang baru dilalui sepatutnya menjadi peluang untuk memperbaiki ekosistem komunikasi awam sebelum kita mengulangi cabaran yang sama.

Demokrasi tidak diukur hanya melalui jumlah keluar mengundi atau keputusan pilihan raya. Demokrasi juga diukur melalui kualiti maklumat yang diterima oleh rakyat sebelum mereka membuat pilihan.

Dalam era digital, mempertahankan integriti maklumat mungkin sama pentingnya dengan mempertahankan integriti proses mengundi itu sendiri.

Artikel ini merupakan pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan mahu pun pendirian rasmi RTM.


Dr. Mastura Mahamed
Pensyarah Kanan
Jabatan Komunikasi
Fakulti Bahasa Moden dan Komunikasi
Universiti Putra Malaysia
E-mel: mastura.mahamed@upm.edu.my

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.