Jejak digital, harapan baharu operasi SAR di rimba

Gambar hiasan/RTM

SAUDARA PENGARANG

RINGKASAN BERITA AI
  • Teknologi geospatial, dron, imej satelit dan kecerdasan buatan meningkatkan ketepatan dan kelajuan operasi SAR melalui model kebarangkalian lokasi dan analisis data masa nyata.
  • Pembinaan ekosistem SAR bersepadu memerlukan kerjasama agensi, pusat geospatial, universiti dan perkongsian data melalui platform seperti Malaysian Urban Observatory.
  • Teknologi adalah pengganda keupayaan; ia mempercepatkan pencarian namun tidak menggantikan keberanian pasukan penyelamat dan pengetahuan komuniti setempat.

Bayangkan anda berada bersendirian di tengah-tengah hutan yang luas, tebal, tiada liputan komunikasi dapat dikesan, kehabisan makanan, kehilangan tenaga kerana mencari arah yang semakin tidak jelas. Siang dan malam berlalu tanpa disedari dan dalam keadaan yang tidak menentu.

Setiap titisan hujan merupakan rahmat, setiap deruan angin merupakan petunjuk, namun adakah setiap langkah yang diambil boleh menentukan sama ada seseorang itu semakin hampir kepada ‘pintu’ keselamatan atau semakin jauh daripada harapan untuk ditemui dan hidup.

Beberapa tahun kebelakangan ini, Malaysia menyaksikan beberapa insiden kehilangan individu di kawasan hutan mahupun di pergunungan yang melibatkan operasi mencari dan menyelamat (Search and Rescue-SAR) di peringkat yang berskala besar.

Setiap insiden yang berlaku bukan sahaja menguji ketahanan daya fizikal mangsa malah pihak pasukan penyelamat, dimana mereka perlu berhadapan dengan bentuk muka bumi yang dinamik dan mencabar, cuaca yang tidak menentu, skala pencarian yang amat luas serta ancaman haiwan berbahaya.

Dalam kebanyakkan kes dan operasi SAR, perkara pertama pelaksanaan adalah melalui pengalaman dan kemahiran tinggi pasukan penyelamat, bantuan komuniti setempat, pengetahuan masyarakat orang asli, penggunaan dron, anjing pengesan dan pencarian berperingkat di lapangan.

Tidak dinafikan pendekatan ini berjaya membuktikan penemuan dan menyelamatkan banyak nyawa dan menjadi tunjang utama operasi SAR negara.

Namun, persoalan yang semakin relevan pada hari ini bukan sahaja di peringkat nasional malah global. Adakah tindakan operasi mencari dapat dijalankan dengan lebih pantas, tepat dan berasakan tren pergerakan data.

Dunia kini memasuki era kecerdasan buatan dan data analitik raya. Operasi SAR juga sedang melalui transformasi yang sama. Jejak kaki dan aktiviti manusia mula dibantu oleh jejak digital dengan gabungan penghasilan imej satelit, dron, sensor dan sistem maklumat geografi atau Geographic Information System (GIS).

Bagi kebanyakkan fahaman, GIS sering dikaitkan dengan peta digital. Hakikatnya, penggunaan teknologi ini jauh lebih bermakna dari itu. GIS membolehkan pelbagai maklumat spatial digabungkan dan dianalisis secara serentak dan boleh dilakukan secara langsung.

Dalam konteks SAR, maklumat seperti cerun, laluan pendakian, sungai, sumber air, litupan hutan dan topografi boleh digunakan untuk membina model keberangkalian lokasi mangsa.

Keupayaan ini bukan lagi hanya sekadar teori yang dibangunkan oleh para penyelidik. Sebagai contoh di Poland, insiden yang berlaku pada tahun 2021, satu misi pencarian berjaya menggunakan sistem yang dinamakan SARUAV yang menggabungkan pengesana imej dron, GIS dan kecerdasan buatan bagi mengesan individu yang hilang di kawasan terpecil.

Sistem tersebut membuat analisis imej udara secara tepat dan menghantar koordinat tepat kepada pasukan penyelamat. Manakala di Austria, para penyelidik telah membangunkan teknologi Airbone Optical Sectioning yang juga mengaplikasi keupayaan dron dan kamera termal untuk mengesan mangsa yang terlindung di bawah kanopi hutan.

Contoh lain juga dapat dilihat dalam operasi mencari kanak-kanak yang hilang di dalam hutan di Amerika Syarikat pada waktu malam melalui DMS system (Drone Management System).

Melalui gabungan data, imej langsung dan pola alam, sistem tersebut berjaya meningkatkan kadar ketepatan lokasi dan pengesanan walaupun berada di bawah liputan hijau yang padat dan gelap.

Bagi Malaysia yang memiliki antara hutan hujan tropika tertua di dunia, pemanfaatan teknologi geospatial dan kecerdasan buatan dalam operasi SAR menjadi semakin penting sebagai satu keperluan strategik negara.

Keadaan muka bumi yang bergunung-ganang, litupan hutan yang tebal, rangkaian sungai yang kompleks serta cuaca tropika yang tidak menentu menjadikan operasi pencarian di negara ini jauh lebih mencabar berbanding di banyak kawasan lain di dunia.

Dalam situasi sedemikian, keupayaan untuk mengakses, menganalisis dan mentafsir data spatial secara pantas boleh menjadi faktor penting yang menentukan keberkesanan operasi serta peluang untuk menyelamatkan nyawa.

Sistem SAR pintar yang mengintegrasikan data satelit masa nyata, imejan dron, model kebarangkalian pergerakan mangsa, data cuaca, maklumat topografi, rangkaian laluan hutan serta algoritma kecerdasan buatan berpotensi mengubah landskap operasi pencarian dan penyelamatan negara.

Melalui sistem sedemikian, pasukan penyelamat bukan sahaja dapat mengenal pasti kawasan pencarian yang paling berpotensi, malah mampu mengoptimumkan penggunaan sumber, mempercepatkan mobilisasi pasukan dan meningkatkan peluang menemui mangsa dalam tempoh kritikal.

Malaysia juga mempunyai peluang untuk membangunkan ekosistem SAR geospatial yang lebih bersepadu melalui kerjasama rentas agensi, institusi penyelidikan dan sektor teknologi.

Salah satu pendekatan yang boleh dipertimbangkan ialah memperluaskan fungsi platform data spatial nasional seperti Malaysian Urban Observatory (MUO) sebagai pusat integrasi data geospatial dan analitik yang menyokong bukan sahaja perancangan bandar, malah pengurusan bencana, tindak balas kecemasan dan operasi SAR.

Pada masa yang sama, kerjasama strategik dengan Pusat Geospatial Negara boleh diperkukuhkan bagi membangunkan pangkalan data geospatial yang lebih komprehensif, mempertingkat perkongsian data antara agensi dan menyokong pembangunan sistem sokongan keputusan berasaskan bukti untuk kegunaan pasukan penyelamat.

Penglibatan universiti dan institusi penyelidikan juga amat penting dalam menghasilkan model ramalan, algoritma kecerdasan buatan dan analisis spatial yang disesuaikan dengan persekitaran tropika Malaysia.

Gabungan kepakaran penyelidik, agensi penyelamat, komuniti setempat dan pengurus data geospatial negara berupaya mewujudkan satu pendekatan SAR yang lebih responsif, cekap dan berdaya tahan.

Daripada jejak kaki yang semakin hilang di celah rimba, masa depan operasi SAR kini bergerak ke arah jejak digital yang mampu membawa harapan baharu.

Persoalannya bukan lagi sama ada teknologi ini boleh digunakan, tetapi sejauh mana kita bersedia untuk menggabungkan kekuatan dan kemahiran pasukan penyelamat, kesediaan data, teknologi geospatial, kecerdasan buatan dan penyelidikan tempatan bagi membangunkan sistem SAR negara yang lebih pintar, bersepadu dan bersedia menghadapi cabaran masa hadapan.

Pada akhirnya, teknologi tidak akan pernah menggantikan nilai kemanusiaan, keberanian anggota penyelamat atau pengetahuan komuniti setempat yang sering menjadi faktor utama dalam kejayaan sesuatu operasi SAR.

Namun, teknologi mampu menjadi pengganda keupayaan yang mempercepatkan usaha pencarian, mengurangkan ketidakpastian dan meningkatkan kebarangkalian menyelamatkan nyawa.

Artikel ini merupakan pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan mahu pun pendirian rasmi RTM.


Gs. Dr. Junainah Abu Kasim
Pensyarah Kanan
Jabatan Senibina Landskap
Fakulti Rekabentuk dan Senibna
E-mel: junainahkasim@upm.edu.my

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.