
SAUDARA PENGARANG
- Akuakultur perlu dipandu oleh bukti saintifik dan prinsip kelestarian, bukan hanya tumpuan kepada peningkatan pengeluaran.
- Mengutamakan ikan natif berpotensi menjana ekonomi, memelihara identiti budaya dan memperkukuh rantaian makanan negara.
- Atasi kekurangan benih berkualiti, kurangkan kebergantungan spesies asing dan tingkatkan pusat pengeluaran serta insentif.
- Perkasakan penyelidikan, penilaian risiko dan pemulihan stok untuk memastikan akuakultur lestari dan keterjaminan makanan jangka panjang.
Ketika dunia berdepan ketidaktentuan ekonomi dan peningkatan kos tenaga kerja, sektor makanan turut menerima tempiasnya. Kenaikan harga bahan api telah meningkatkan kos logistik, makanan ternakan dan operasi perikanan laut, sekali gus memberi tekanan kepada bekalan protein negara.
Dalam landskap ini, akuakultur muncul sebagai salah satu penyelesaian paling berpotensi kerana mampu menghasilkan bekalan ikan yang lebih stabil, terancang dan kurang bergantung pada faktor musim.
Usaha kerajaan untuk memperkukuh sektor akuakultur merupakan langkah yang tepat bagi menjamin keterjaminan makanan negara. Namun, pengembangan sektor ini tidak seharusnya hanya memberi tumpuan kepada peningkatan pengeluaran semata-mata.
Sebaliknya, ia perlu dipandu oleh bukti saintifik, data yang kukuh dan prinsip kelestarian agar manfaat ekonomi dapat dicapai tanpa menjejaskan ekosistem perairan negara.
Malaysia sebenarnya mempunyai kelebihan yang sering dipandang sepi, iaitu kepelbagaian spesies ikan air tawar natif yang mempunyai nilai ekonomi tinggi serta identiti budaya yang kuat.
Potensi ini boleh menjadi pemacu baharu kepada pembangunan akuakultur negara sekiranya diberi keutamaan dalam dasar dan pelaksanaan industri.
Data Perangkaan Perikanan Malaysia 2024 yang diterbitkan Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) menunjukkan pengeluaran perikanan darat negara berjumlah 9,651.87 tan metrik dengan nilai borong mencecah RM190.7 juta, meningkat daripada RM179.5 juta pada tahun sebelumnya.
Walaupun pengeluaran perikanan darat hanya menyumbang sekitar 0.3 peratus daripada keseluruhan pengeluaran perikanan negara, peningkatan nilai pasaran ini menunjukkan permintaan terhadap ikan natif terus berkembang.
Perak kekal sebagai negeri penyumbang terbesar pengeluaran perikanan darat dengan 2,986.94 tan metrik, diikuti oleh Pahang dan Johor. Antara spesies natif yang mencatatkan pengeluaran tinggi ialah baung, lampam sungai, tenggalan, terbul, haruan, loma, patin juara dan sebarau.
Dalam sektor akuakultur pula, Perak, Selangor dan Pahang merupakan negeri pengeluar utama, manakala jelawat merupakan spesies ikan natif yang paling banyak diternak, dengan pengeluaran melebihi 4,200 tan metrik (Perangkaan Perikanan Malaysia, 2024).
Angka ini membuktikan bahawa ikan natif mempunyai nilai pasaran yang kukuh dan prospek ekonomi yang memberangsangkan. Namun, potensinya masih belum dimanfaatkan sepenuhnya.
Salah satu cabaran utama ialah kekurangan bekalan benih ikan natif yang berkualiti, sekali gus menyebabkan industri masih bergantung kepada spesies asing seperti tilapia merah, tilapia hitam, keli Afrika dan patin.
Kebergantungan terhadap spesies asing bukan sahaja menimbulkan risiko kepada industri, malah boleh mengancam biodiversiti negara. Apabila spesies ini terlepas ke sungai atau tasik, ia berpotensi menjadi spesies invasif yang bersaing dengan ikan tempatan untuk mendapatkan makanan dan habitat.
Dalam jangka panjang, keadaan ini boleh mengubah keseimbangan ekosistem dan mengurangkan populasi ikan natif.
Justeru, usaha memperkukuh akuakultur perlu disertai dengan strategi yang lebih menyeluruh. Antaranya ialah memperluaskan pusat pengeluaran benih ikan natif bagi memastikan bekalan berkualiti dapat memenuhi keperluan industri.
Pada masa yang sama, insentif khusus perlu disediakan bagi menggalakkan penternak beralih kepada spesies tempatan yang mempunyai nilai komersial tinggi.
Penyelidikan dan pembangunan juga perlu dipertingkatkan bagi meningkatkan kadar tumbesaran serta kecekapan penggunaan makanan bagi spesies seperti patin buah, jelawat, temoleh dan lampam sungai.
Di samping itu, penilaian risiko terhadap spesies asing perlu diperkasakan, penguatkuasaan terhadap pelepasan ikan asing ke perairan awam perlu dipertingkatkan, dan program pemulihan stok ikan natif di sungai utama perlu diperluas.
Mengutamakan ikan natif bukan sekadar langkah memelihara biodiversiti. Ia merupakan strategi memperkukuh kedaulatan makanan negara.
Penggunaan spesies tempatan dapat mengurangkan kebergantungan kepada import benih, mengurangkan risiko penyakit bawaan spesies asing, memelihara identiti makanan Malaysia serta membuka peluang ekonomi kepada komuniti luar bandar yang bergantung kepada sumber perikanan air tawar.
Dalam usaha memastikan keterjaminan makanan negara terus terpelihara, pembangunan akuakultur perlu bergerak seiring dengan pemuliharaan biodiversiti. Pendekatan ini bukan sahaja menjamin bekalan protein yang mampan, malah memastikan sungai dan tasik negara kekal sihat untuk generasi akan datang.
Masa depan akuakultur Malaysia tidak seharusnya hanya diukur melalui jumlah pengeluaran, tetapi juga melalui keupayaan negara untuk membangunkan industri yang lestari, berdaya tahan dan berasaskan kekuatan biodiversiti tempatan.
Ikan natif bukan lagi sekadar pilihan alternatif; sebaliknya, wajar menjadi teras strategi akuakultur negara demi menjamin keterjaminan makanan dan kelestarian alam sekitar pada masa hadapan.
Artikel ini merupakan pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan mahu pun pendirian rasmi RTM.

Dr. Rohasliney Hashim
Pensyarah Kanan
Jabatan Pengurusan Alam Sekitar
Fakulti Perhutanan dan Alam Sekitar, UPM
E-mel: rohasliney@upm.edu.my