
KUALA LUMPUR, 12 Julai – Malaysia dan Finland berhasrat untuk memperkukuh kerjasama termasuk dalam bidang ekonomi kitaran bagi memacu pembangunan ekonomi yang lebih mampan dan berdaya saing.
- Perbincangan tertumpu kepada potensi pembangunan model ekonomi kitaran sejajar komitmen negara terhadap kemampanan dan tindakan iklim.
- Kerjasama merangkumi pembaharuan dasar dan kawal selia, pembiayaan serta pelaburan, pembangunan rantaian bekalan mampan, piawaian dan pensijilan, pembangunan kapasiti.
- Pertukaran pandangan mengenai peluang membangunkan taman perindustrian eko, bermula dengan taman halal, memanfaatkan kira-kira 600 taman sedia ada.
Menerusi perkongsian di Facebook, Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Datuk Seri Johari Abdul Ghani berkata perkara itu dibincangkan dalam kunjungan hormat Duta Besar Finland ke Malaysia, Anne Vasara.
Menurut beliau, perbincangan tertumpu kepada potensi pembangunan model ekonomi kitaran di Malaysia, sejajar dengan komitmen negara terhadap agenda kemampanan dan tindakan iklim.
”Ini termasuk kerjasama merangkumi aspek pembaharuan dasar dan kawal selia, pembiayaan dan pelaburan, pembangunan rantaian bekalan mampan, piawaian serta pensijilan, selain pembangunan kapasiti.
Jelas Datuk Seri Johari, mereka turut bertukar pandangan mengenai peluang membangunkan taman perindustrian eko di Malaysia
“Dengan kira-kira 600 taman perindustrian di seluruh negara, Malaysia mempunyai potensi besar untuk menerapkan amalan ekonomi kitaran, bermula dengan taman-taman halal sebagai langkah awal ke arah pembangunan industri yang lebih lestari dan bernilai tinggi,” katanya lagi.