
KUALA LUMPUR, 12 Julai – Prasarana Malaysia Berhad (Prasarana) menjalin kerjasama strategik dengan Chongqing Rail Transit (CRT), China menerusi pemeteraian Memorandum Persefahaman (MoU) bagi memperkukuh operasi sistem monorel di negara ini.
- Tumpuan kepada peningkatan keupayaan operasi, kebolehpercayaan sistem, perkongsian kepakaran teknikal dan pembangunan bakat.
- Perkongsian amalan terbaik termasuk pendigitalan operasi, analitik data, penyelenggaraan ramalan, dan standard operasi serta keselamatan.
- Latihan bersama, lawatan teknikal dan pertukaran kepakaran untuk meningkatkan kompetensi tenaga kerja.
- MoU tanpa komitmen kewangan, menjadi platform meneroka kerjasama strategik dan mempertingkat mutu perkhidmatan pengangkutan awam.
Prasarana dalam satu kenyataan berkata kerjasama itu memberi tumpuan kepada peningkatan keupayaan operasi, kebolehpercayaan sistem, perkongsian kepakaran teknikal serta pembangunan bakat dalam pengoperasian monorel.
“Kedua-dua pihak akan turut berkongsi amalan terbaik merangkumi aspek pendigitalan operasi, penggunaan analitik data, penyelenggaraan ramalan, standard operasi serta keselamatan,” katanya.
Kerjasama itu turut meliputi latihan bersama, lawatan teknikal dan pertukaran kepakaran bagi meningkatkan kompetensi tenaga kerja.
Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Prasarana, Amir Hamdan berkata kerjasama dengan CRT membuka peluang kepada syarikat itu mengadaptasi amalan terbaik global dalam meningkatkan kebolehpercayaan sistem rel, strategi penyelenggaraan dan kecekapan operasi.
”Perkongsian pengetahuan ini penting bagi memastikan perkhidmatan yang lebih selamat, lancar dan boleh dipercayai terus dinikmati pengguna.
”Kerjasama dengan CRT yang merupakan antara pengendali monorel terkemuka dunia juga dijangka memperkukuh ekosistem operasi Monorel Kuala Lumpur yang telah beroperasi lebih dua dekad, selaras dengan perkembangan teknologi dan amalan terbaik antarabangsa,” jelasnya dalam kenyataan tersebut.
MoU yang dimeterai pada 9 Julai lalu itu tidak melibatkan sebarang komitmen kewangan, sebaliknya menjadi platform untuk meneroka peluang kerjasama strategik serta menyelaras pelaksanaan inisiatif bagi mempertingkat mutu perkhidmatan pengangkutan awam negara.