BUDI Diesel perlu lebih fleksibel ikut keperluan Sabah, Sarawak

Penggunaan sistem MyKad membolehkan kerajaan merekod corak penggunaan diesel secara lebih tepat

KUALA LUMPUR, 12 Julai – Penetapan kuota program BUDI MADANI Diesel (BUDI Diesel) wajar mengambil kira keperluan penggunaan yang lebih tinggi, selain faktor geografi serta cabaran infrastruktur terutamanya bagi penduduk di pedalaman Sabah dan Sarawak.

RINGKASAN BERITA AI
  • Perkukuhan pelaksanaan BUDI Diesel di kawasan pedalaman yang kekurangan stesen minyak dan mempunyai capaian internet terhad.
  • Kerajaan meluluskan tambahan kuota 100 liter sebulan, menjadikan 300 liter untuk hampir 200,000 pemilik pikap dan jip.
  • Pertimbangan memperluas kelayakan kepada pengguna set jana kuasa rumah panjang dan bot di pedalaman Sabah serta Sarawak.

Felo Penyelidik Pusat Ekonomi Islam Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Profesor Madya Dr. Muhammad Irwan Ariffin berpandangan, geoekonomi di kedua-dua negeri itu berbeza berbanding Semenanjung berikutan keluasan kawasan, taburan penduduk serta jarak perjalanan yang lebih jauh.

“Keadaan itu mengakibatkan kos logistik dan pengangkutan harian menjadi lebih tinggi, sekali gus memerlukan penggunaan diesel yang lebih banyak.

“Penggunaan sistem MyKad membolehkan kerajaan merekod corak penggunaan diesel secara lebih tepat bagi menilai semula kadar kuota subsidi, selain membantu pengurusan fiskal negara.

”Apabila perbelanjaan subsidi dibuat maka sudah pasti akan ada kos lepas, di mana kerajaan akan kurang keupayaan untuk berbelanja dalam sektor-sektor lain yang mungkin akan dapat lebih memanfaatkan rakyat di Sabah dan Sarawak itu sendiri,”katanya.

Beliau juga menyarankan pengukuhan pelaksanaan sistem BUDI Diesel di Sabah dan Sarawak, khususnya di kawasan pedalaman yang masih berdepan kekurangan stesen minyak serta capaian internet yang terhad.

Semalam, Ketua Setiausaha Perbendaharaan, Tan Sri Johan Mahmood Merican memaklumkan hampir 200,000 pemilik kenderaan diesel jenis pikap dan jip diluluskan tambahan kuota sebanyak 100 liter sebulan di bawah BUDI Diesel, menjadikan jumlah kelayakan mereka meningkat kepada 300 liter sebulan bermula Julai.

Daripada jumlah itu, lebih 174,000 penerima ialah warganegara di Semenanjung Malaysia, manakala lebih 22,000 lagi terdiri daripada warganegara di Sabah, Sarawak dan Wilayah Persekutuan Labuan setakat 4 Julai.

Kerajaan turut mempertimbangkan untuk memperluas kelayakan BUDI Diesel kepada pengguna set jana kuasa di rumah panjang serta bot di kawasan pedalaman Sabah dan Sarawak bagi memastikan subsidi diesel disalurkan kepada golongan yang benar-benar memerlukan.