Kebakaran di Sepanyol: 12 maut, 23 masih hilang

Sepanyol ketika ini dilanda cuaca panas melampau yang meningkatkan risiko kebakaran hutan. / Foto AFP

MADRID, 11 Julai – Sekurang-kurangnya 12 orang maut manakala 23 lagi masih hilang dalam kebakaran hutan yang merebak pantas di selatan Sepanyol pada Jumaat.

RINGKASAN BERITA AI
  • Ujian DNA diperlukan untuk mengenal pasti mayat yang terbakar teruk.
  • Beberapa mangsa ditemukan rentung dalam sebuah kereta; seorang penunggang basikal dilaporkan terperangkap.
  • Kebakaran memusnahkan kira-kira 3,200 hektar; kira-kira 500 anggota bomba dan unit tentera dikerahkan.
  • Punca belum disahkan, dikaitkan dengan kabel elektrik tumbang; kawalan sukar kerana muka bumi curam dan cuaca panas melampau.

Ketua Kerajaan Wilayah Andalusia, Juan Manuel Moreno Bonilla berkata ujian asid deoksiribonukleik (DNA) perlu dilaksanakan untuk mengenal pasti identiti mangsa kerana keadaan mayat yang terbakar teruk.

Empat mangsa yang terbunuh dipercayai warga Britain dan ditemukan rentung dalam sebuah kereta, manakala tujuh lagi maut ketika cuba melarikan diri dengan berjalan kaki.

“Media Sepanyol melaporkan mangsa ke-12 ialah seorang penunggang basikal yang terperangkap dalam kebakaran.

“Selain itu, lapan individu cedera, termasuk empat parah, manakala ratusan penduduk dipindahkan,” katanya.

Kebakaran yang bermula pada Khamis di Los Gallardos, Andalusia itu memusnahkan hutan dan belukar di kawasan gaung curam.

Kira-kira 500 anggota bomba dengan bantuan Unit Kecemasan Tentera Sepanyol dikerahkan bagi mengawal kebakaran yang setakat ini memusnahkan kawasan seluas kira-kira 3,200 hektar.

“Usaha mengawal kebakaran mungkin mengambil masa beberapa hari kerana bentuk muka bumi yang curam dan sukar dimasuki,” ujarnya.

Punca kejadian masih belum disahkan, walaupun terdapat dakwaan kebakaran itu bermula selepas kabel elektrik tumbang dan membakar kawasan belukar.

Sepanyol ketika ini dilanda cuaca panas melampau yang meningkatkan risiko kebakaran hutan.

Tahun lepas, kawasan seluas hampir 400,000 hektar musnah akibat kebakaran hutan di Sepanyol, angka tertinggi pernah dicatatkan negara itu. – AFP

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.