
KUALA LUMPUR, 8 Julai – RAM Ratings mengekalkan prospek stabil bagi sektor insurans dan takaful Malaysia disokong oleh penampan modal yang kukuh.
- Pertumbuhan insurans hayat dan takaful keluarga kekal mendatar 2026 selepas penyusutan 2025 disebabkan ketidaktentuan pasaran dan kos sara hidup.
- Insurans am diunjur berkembang sederhana 5 hingga 6 peratus selaras pemulihan jualan kenderaan.
- Fokus MHIT selepas tamat langkah interim BNM akhir 2026; reformasi, produk asas mampu milik dan mekanisme pembayaran kumpulan penting untuk kawal kos.
- Asas kredit kekal berdaya tahan; 10 daripada 12 ITO mengekalkan prospek stabil, dan takaful dilihat sebagai pemacu utama pertumbuhan.
RAM Ratings dalam laporan terbaharunya bertajuk Insurance and Takaful Insight: Paving the Way Forward berkata kedudukan modal yang kukuh berperanan menyerap ketidaktentuan pasaran serta tekanan terhadap pendapatan, khususnya bagi syarikat insurans hayat dan pengendali takaful keluarga.
Menerusi laporan terbaharunya bertajuk Insurance and Takaful Insight: Paving the Way Forward, agensi penarafan itu menjangkakan pertumbuhan perniagaan baharu insurans hayat dan takaful keluarga kekal mendatar pada 2026 selepas mencatat sedikit penyusutan pada 2025 berikutan ketidaktentuan pasaran dan tekanan kos sara hidup.
”Sementara itu, pertumbuhan segmen insurans am diunjur sederhana pada kadar lima hingga enam peratus susulan jualan kenderaan yang kembali normal.
”Namun, asas kredit sektor itu kekal berdaya tahan apabila 10 daripada 12 syarikat insurans dan pengendali takaful (ITO) yang dinilai oleh RAM Ratings mengekalkan prospek stabil, manakala satu kumpulan insurans semula bukan hayat dengan dua penarafan entiti mempunyai prospek positif,” jelas agensi penarafan itu.
Naib Presiden Kanan Penarafan Institusi Kewangan RAM Ratings, Sophia Lee berkata, antara tumpuan utama ketika ini ialah insurans dan takaful perubatan serta kesihatan (MHIT), susulan tamatnya langkah interim Bank Negara Malaysia (BNM) pada penghujung 2026, termasuk had kenaikan premium tahunan sebanyak 10 peratus.
“Keadaan itu boleh membawa kepada pelarasan premium yang lebih tinggi sekiranya kos tuntutan perubatan terus meningkat. Kejayaan reformasi MHIT yang sedang dilaksanakan amat penting bagi meningkatkan ketelusan penetapan harga serta jangkaan kos.
”Antara inisiatif utama termasuk pelaksanaan perintis produk asas MHIT mampu milik serta penggunaan mekanisme pembayaran berasaskan kumpulan berkaitan diagnosis,” katanya.
Jelasnya, langkah berkenaan dijangka menyokong penetapan harga yang lebih mampan dalam jangka panjang, namun keberkesanannya bergantung kepada kadar penggunaan serta kejayaan mengawal kos penjagaan kesihatan.
Sementara itu, katanya pendigitalan proses tuntutan insurans kenderaan akan meningkatkan kecekapan pengurusan tuntutan, ketepatan penetapan harga dan ketelusan dalam segmen insurans am. Namun manfaatnya bergantung kepada tahap penggunaan serta kualiti integrasi data.
Menurut RAM Ratings, nisbah tuntutan insurans am kekal stabil pada 58.2 peratus, namun terdedah kepada tekanan sekiranya gangguan bekalan bahan api akibat ketegangan geopolitik di Asia Barat menyebabkan peningkatan kos pembaikan kenderaan dan perkhidmatan kesihatan.
RAM Ratings turut menyifatkan takaful sebagai pemacu utama pertumbuhan sektor, disokong ekosistem kewangan Islam Malaysia yang kukuh serta nilai unik yang mematuhi prinsip Syariah.