Maghribi ujian terbesar Perancis di suku akhir

Foto AFP

KANSAS CITY, 8 Julai – Perancis dijangka berdepan ujian paling mencabar dalam kempen Piala Dunia 2026 apabila menentang Maghribi pada aksi suku akhir, awal pagi Khamis.

RINGKASAN BERITA AI
  • Pertemuan ulangan separuh akhir 2022 di Qatar, di mana Perancis menamatkan kemaraan bersejarah Maghribi.
  • Maghribi kini lebih matang, yakin dan berani, berhasrat untuk menjulang trofi Piala Dunia.
  • Perancis mara selepas menewaskan Paraguay 1-0 melalui jaringan Mbappe, menunjukkan tekanan dan getirnya peringkat kalah mati.

Pertemuan itu mengulangi separuh akhir edisi 2022 di Qatar yang menyaksikan Perancis menamatkan kemaraan bersejarah Maghribi.

Namun kali ini, wakil Afrika Utara itu tampil sebagai pasukan lebih matang, yakin dan berani meletakkan sasaran untuk menjulang trofi.

Penyerang Perancis, Jean-Philippe Mateta menyifatkan Maghribi sebagai lawan paling sukar setakat ini, pandangan yang turut dikongsi rakan sepasukan Dayot Upamecano dan Robin Risser.

Skuad kendalian Didier Deschamps mara ke suku akhir selepas menewaskan Paraguay 1-0, dalam perlawanan yang menguji kesabaran dan ketahanan mental mereka.

Jaringan tunggal Kylian Mbappe, gol ketujuhnya dalam kejohanan ini, memastikan kemenangan, namun aksi tersebut memperlihatkan cabaran semakin getir di peringkat kalah mati.

Berbeza dengan Paraguay, Maghribi memiliki kombinasi kualiti teknikal, intensiti fizikal serta keyakinan tinggi.

Pasukan bimbingan Mohamed Ouahbi itu turut membuktikan kemampuan mereka dengan kemenangan bergaya 3-0 ke atas Kanada di pusingan 16 terbaik.

Maghribi sebelum ini menamatkan saingan kumpulan tanpa kalah, mengutip tujuh mata hasil pertemuan dengan Brazil, Scotland dan Haiti, sekali gus mengukuhkan status mereka sebagai pencabar serius.

Sementara itu, Upamecano dan Risser menegaskan Mbappe kekal fokus menjelang perlawanan walaupun berdepan serangan perkauman oleh seorang senator Paraguay selepas penyingkiran pasukan itu.

Aksi suku akhir ini dijangka berlangsung sengit dengan kedua-dua pasukan memburu tempat ke separuh akhir dalam misi memburu kejuaraan dunia.-REUTERS

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.