Gol batal, penalti ditolak, Mesir kecewa

Foto AFP

BUENOS AIRES, 8 Julai – Jurulatih Mesir, Hossam Hassan kecewa dengan keputusan pengadilan selepas pasukannya tersingkir daripada Piala Dunia 2026 dan mengambil keputusan tidak lagi mengikuti baki saingan kejohanan itu.

RINGKASAN BERITA AI
  • Mesir kalah dramatik 2-3 selepas mendahului 2-0 hingga 11 minit terakhir.
  • Gol Mostafa Zico dibatalkan selepas VAR mendapati kekasaran semasa serangan balas.
  • Tuntutan penalti terhadap Hamdy Fathy ditolak; Hossam anggap keputusan pengadil tidak adil dan peluang bersejarah terlepas.

Mesir hampir mencipta kejutan besar apabila mendahului juara bertahan Argentina 2-0 sehingga 11 minit terakhir perlawanan pusingan 16, sebelum tewas dramatik 2-3 selepas kebangkitan luar biasa pasukan lawan.

Hossam menyifatkan kekalahan itu tidak adil sambil mendakwa beberapa keputusan pengadil menjejaskan peluang Mesir untuk mara ke suku akhir.

“Saya akan pulang dan tidak akan menonton lagi perlawanan dalam kejohanan ini. Apa yang berlaku kepada kami tidak adil.

“Kami sepatutnya diberikan sepakan penalti dan satu gol kami dibatalkan. Saya tidak tahu mengapa ia dibatalkan,” katanya pada sidang media.

Mesir menyangka mereka berjaya mengurangkan tekanan selepas Mostafa Zico menjaringkan gol pada minit ke-62, namun jaringan itu dibatalkan selepas semakan Video Bantuan Pengadil (VAR) mendapati berlaku kekasaran dalam gerakan serangan balas sebelum gol terhasil.

Pasukan itu turut mempertikaikan keputusan tidak memberikan penalti selepas Hamdy Fathy didakwa ditarik dalam kawasan penalti, sebelum Argentina menghukum mereka menerusi jaringan kemenangan pada masa kecederaan.

Walaupun tewas, Hossam menegaskan Mesir beraksi lebih baik dan kecewa peluang bersejarah untuk menyingkirkan juara dunia itu terlepas di penghujung perlawanan.-REUTERS

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.