
SEGAMAT, 5 Julai – Mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan serta merancakkan ekonomi anak muda, menjadi fokus kempen bagi dua calon Pakatan Harapan (PH) di N03 Pemanis dan N04 Kemelah.
- Calon PH mahu tindakan segera bagi atasi kekurangan peluang pekerjaan dan hentikan aliran warga bekerja di luar kawasan
- Cadangan pembangunan IPT dan industri moden untuk menarik balik anak muda serta menyumbang kepada ekonomi setempat
- Kedua-dua calon proaktif berkempen dan menyeru pengundi di luar kawasan supaya pulang menentukan hala tuju selama lima tahun
Tumpuan isu tersebut penting bagi memastikan golongan belia di daerah Segamat, tidak mencari mata pencarian di luar kawasan, sebaliknya kembali menyumbang kepada ekonomi setempat.
Menurut calon PH Pemanis, Jalex Lee En Xiang, berkata penyelesaian segera perlu diambil bagi menangani isu tersebut.
“Antara masalah besar adalah kekurangan peluang pekerjaan kerana ramai yang bekerja di luar kawasan. Saya rasa ini perkara serius dan memerlukan penyelesaian tuntas,” katanya.
Calon PH Kemelah, Mohd Afif Abdul Hamid turut sependapat dengan hal tersebut.
“Isu utama di kawasan ini adalah peluang pekerjaan. Anak muda ketika ini ramai bekerja di luar kawasan seperti Singapura, Melaka dan Kuala Lumpur. Kita mahu pembangunan yang pesat di Segamat contohnya Institusi Pengajian Tinggi dan industri yang maju,” ujar Mohd Afif.
Kedua-dua calon PH memaklumkan, pihaknya akan terus proaktif menjalankan kempen di seluruh Segamat menjelang hari mengundi pada 11 Julai nanti.
Selain itu, mereka turut menyeru agar semua pengundi yang tinggal di luar kawasan untuk pulang mengundi bagi menentukan hala tuju Segamat bagi tempoh lima tahun akan datang.