
BRATISLAVA, 5 Julai – Slovakia tidak akan menyertai mana-mana mekanisme kewangan untuk menyalurkan sokongan ketenteraan kepada Ukraine.
- Kerajaan menyokong deklarasi politik awal bagi bantuan tambahan 70 bilion euro untuk menyokong Ukraine.
- Slovakia sedia menghulurkan bantuan kemanusiaan kepada Ukraine tetapi menolak penglibatan dalam dana ketenteraan.
- Negara anggota NATO dijangka mengumumkan ikrar bantuan ketenteraan 70 bilion euro semasa sidang kemuncak di Ankara.
Tegas Perdana Menterinya, Robert Fico pada Jumaat, kerajaan pimpinannya percaya bahawa konflik yang berlaku di Ukraine tidak mampu diselesaikan jika bantuan ketenteraan diberi tumpuan.
Bagaimanapun, pada masa ini pihaknya bersetuju dengan cadangan awal deklarasi politik berhubung bantuan tambahan berjumlah 70 bilion euro (RM354 bilion) bagi menyokong Ukraine dalam peperangannya menentang Rusia.
Beliau menambah, Slovakia kekal bersedia menghulurkan bantuan berbentuk kemanusiaan kepada Ukraine, namun menutup pintu terhadap sebarang penglibatan dalam dana ketenteraan.
“Slovakia sedia memberi bantuan kemanusiaan kepada Ukraine tetapi kami tidak akan mengambil bahagian dalam mana-mana mekanisme kewangan untuk sokongan ketenteraan ke negara itu,” jelas beliau.
Negara-negara anggota Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO) dijangka akan mengumumkan ikrar bantuan ketenteraan bernilai 70 bilion euro itu kepada Ukraine semasa sidang kemuncak NATO yang dijadual berlangsung pada 7 hingga 8 Julai ini di Ankara, Turkiye.- REUTERS