
MADRID, 5 Julai – Kebakaran besar yang mengancam kawasan pesisir pantai Costa Brava kini dilapor mulai terkawal.
- Kebakaran memusnahkan hutan dan belukar, memaksa sekurang-kurangnya 150 pelancong di tapak perkhemahan dipindahkan.
- Kebakaran bermula berhampiran La Bisbal d'Emporda menyebabkan kira-kira 2,200 hektar kawasan hutan hangus.
- Lebih dua pertiga kawasan kini dikawal selepas ratusan anggota bomba dikerah; tiada kecederaan atau kematian dilaporkan.
Insiden itu memusnahkan kawasan hutan dan belukar hingga menyebabkan sekurang-kurangnya 150 pelancong dari sebuah tapak perkhemahan terpaksa dipindahkan.
Menurut Jabatan Bomba Wilayah pada Sabtu, kebakaran yang bermula sejak Jumaat lalu berhampiran perbandaran La Bisbal d’Emporda di timur laut negara itu telah menyebabkan sekitar 2,200 hektar kawasan hutan menjadi abu.
Bagaimanapun, dua pertiga kebakaran berkenaan dapat dikawal setelah ratusan anggota bomba dikerah bertungkus-lumus memastikan situasi tidak menjadi lebih buruk.
“Anggota penyelamat berjaya mengawal kira-kira 70 peratus kawasan kebakaran. Objektif utama kami kini untuk mengawal kebakaran sebelum arah angin diramal berubah menjelang tengah hari,” jelas kenyataan jabatan tersebut.
Setakat ini, tiada sebarang kecederaan atau kemalangan jiwa dilaporkan.- AFP