
JOHOR BAHRU, 4 Julai – Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengulangi tekad untuk memacu Malaysia sebagai sebuah negara yang hebat dan berjaya.
- Mahu dikenang sebagai pemimpin yang menyantuni semua lapisan rakyat tanpa mengira kaum.
- Menetapkan warisan kepimpinan adil, bersih dan berbakti kepada seluruh masyarakat.
- Seru hentikan politik berasaskan sentimen perkauman dan tumpukan usaha membangunkan negara bersama rakyat.
- Kerajaan persekutuan memberi tumpuan pembangunan Johor termasuk pelaburan berimpak tinggi di Simpang Renggam dan Mersing.
Berucap pada majlis makan malam bersama komuniti Cina di sini, malam ini, beliau turut menzahirkan aspirasi untuk dikenang sebagai pemimpin yang sentiasa menyantuni setiap lapisan rakyat tanpa mengira kaum.
Perdana Menteri berkata pada usia dan fasa kepimpinannya ketika ini, tumpuan utama beliau adalah untuk meninggalkan warisan kepimpinan yang adil, bersih dan berbakti kepada seluruh masyarakat di negara ini.
“Setiap rakyat di negara ini adalah penting. Selaku Perdana Menteri, saya perlu berkhidmat kepada semua rakyat. Anda tahu mengapa? Kerana saya perlu menunjukkan saya menyayangi rakyat saya.
“Saya pun bukan muda, saya sudah tua. Esok saya pencen (saya mahu) orang kata Anwar sayang rakyat dan rakyat pun sayang dia, (maka) jaga negeri ini sebagai negeri kita sama-sama. Itu baru boleh berhasil,” kata beliau.
Turut hadir pada majlis itu Naib Presiden PKR yang juga Menteri Besar Selangor Datuk Seri Amirudin Shari.
Beliau yang juga Pengerusi Pakatan Harapan (PH) menegaskan sudah tiba masanya untuk rakyat menoktahkan politik berasaskan sentimen perkauman, sebaliknya memberikan tumpuan penuh kepada usaha membangunkan negara.
Jelasnya, mandat untuk menentukan kepimpinan yang mampu menjalin kerjasama demi kemajuan negeri dan negara terletak di tangan rakyat, tanpa mengira latar belakang kaum atau parti.
Menyentuh aspek pembangunan Johor, Anwar berkata Kerajaan Persekutuan kini memberi tumpuan yang lebih besar kepada negeri itu bagi memastikan kemajuan tidak hanya tertumpu di bandar raya ini, sebaliknya turut dinikmati kawasan lain.
Beliau menarik perhatian mengenai keperluan pembangunan di kawasan seperti Simpang Renggam dan Mersing yang masih memerlukan suntikan pelaburan serta projek berimpak tinggi bagi merancakkan pertumbuhan ekonomi negeri secara menyeluruh. – BERNAMA