
KAPIT, 4 Julai – Seorang lelaki berusia 56 tahun dikhuatiri lemas selepas dipercayai terjatuh dari sebuah perahu di Sungai Bangkit, berhampiran Rumah Panjang Lasin, Katibas, Song di sini.
- Mangsa dilaporkan hilang sejak petang Jumaat selepas keluar membeli gas memasak di Nanga Bangkit.
- Penduduk menemui perahu mangsa hanyut di hulu sungai tanpa kelibat mangsa.
- JBPM menerima panggilan pada pukul 9.40 pagi dan BBP Song digerakkan ke lokasi.
- Operasi SAR dijalankan bersama PDRM dan penduduk, menggunakan dua perahu panjang milik Angkatan Pertahanan Awam dan PDRM, tumpu kawasan hulu.
Menurut Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Sarawak (JBPM) Sarawak, mangsa dikenali sebagai Sumok Jugah, dilaporkan hilang sejak petang jumaat selepas keluar membeli gas memasak di Nanga Bangkit.
Kejadian itu disedari oleh penduduk rumah panjang selepas mereka menemukan perahu milik mangsa hanyut di kawasan hulu sungai tanpa kelibat mangsa.
“Pusat Gerakan Operasi Bomba Sarawak menerima panggilan pada pukul 9.40 pagi tadi sebelum pasukan dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Song digerakkan ke lokasi.
“Operasi mencari dan menyelamat (SAR) kemudian dimulakan dengan kerjasama Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan penduduk kampung di Nanga Banjor.
“Pencarian dijalankan menggunakan dua perahu panjang milik Angkatan Pertahanan Awam Malaysia dan PDRM, dengan tumpuan di kawasan hulu sungai lokasi mangsa dipercayai terjatuh,” menurut kenyataan itu.