PMKS kuasai 97 peratus urus niaga, tunjang utama ekonomi negara

Datuk Seri Dr Ahmad Zahid merasmikan merasmikan GEMA @ KKDW Aspirasi Usahawan Desa Peringkat Negeri Johor. Foto/Bernama

KOTA TINGGI, 4 JULAI – Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS) terus membuktikan peranannya sebagai tulang belakang ekonomi negara apabila menguasai 97 peratus daripada keseluruhan urus niaga di Malaysia.

RINGKASAN BERITA AI
  • PMKS menyumbang kira-kira 52 peratus kepada KDNK dan memacu pertumbuhan ekonomi negara.
  • Sektor PMKS menyumbang lebih 50 peratus peluang pekerjaan, memperkukuh pasaran buruh negara.
  • Kerajaan memperuntuk RM40 bilion bagi memperkasakan usahawan; kejayaan Johor dipacu dasar proaktif dan kestabilan politik.

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah berkata, berdasarkan statistik Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM), sektor itu bukan sahaja memacu pertumbuhan, malah menyumbang kira-kira 52 peratus kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK).

“Dari segi pewujudan peluang pekerjaan, lebih 50 peratus disumbangkan oleh sektor PMKS,” katanya selepas merasmikan GEMA @ KKDW Aspirasi Usahawan Desa Peringkat Negeri Johor di sini.

Turut Hadir Menteri Pertahanan yang juga Anggota Parlimen Kota Tinggi Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin.

Tambah Datuk Seri Dr Ahmad Zahid, komitmen kerajaan dalam memperkasakan sektor berkenaan jelas menerusi peruntukan besar mencecah RM40 bilion bagi memperkukuh daya saing usahawan tempatan.

Mengulas mengenai prestasi ekonomi di peringkat negeri, beliau memuji langkah proaktif Kerajaan Negeri Johor yang berjaya melahirkan lebih ramai usahawan PMKS, seterusnya menyumbang kepada pembangunan industri dan ekonomi negeri.

Kejayaan Johor mencatatkan pertumbuhan ekonomi sebanyak lapan peratus berbanding purata nasional sebanyak 5.2 peratus, katanya membuktikan keberkesanan dasar kerajaan negeri dalam menarik pelaburan dan memperluas aktiviti ekonomi.

“Ini adalah pencapaian yang baik dan ia didorong oleh kestabilan politik serta kepimpinan yang baik di negeri Johor,” katanya.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.