Gelombang haba melampau jejas sambutan Hari Kemerdekaan AS

Peminat berehat di Festival Peminat FIFA menjelang perlawanan Pusingan 32 Piala Dunia 2026 antara Colombia dan Ghana di Kansas City, Missouri/ AFP

WASHINGTON, 4 Julai – Gelombang haba melampau yang melanda timur Amerika Syarikat menjejaskan sambutan Hari Kemerdekaan ke-250 negara itu pada Jumaat, menyebabkan beberapa acara dibatalkan, orang ramai mengalami keletihan dan gangguan sistem bekalan elektrik.

RINGKASAN BERITA AI
  • Gelombang haba melampau menjejaskan sambutan Hari Kemerdekaan, menyebabkan pembatalan acara dan perarakan di ibu kota.
  • Orang ramai mengalami keletihan haba; seorang wanita dikejarkan hospital dan pusat penyejukan serta kolam awam dilanjutkan operasi.
  • Permintaan penghawa dingin tinggi membebankan rangkaian elektrik; pulihan berlaku untuk 60,000 pelanggan, lebih 22,000 masih tiada bekalan.

Menurut Perkhidmatan Cuaca Kebangsaan (NWS), kira-kira 160 juta penduduk berada di bawah amaran haba tinggi atau ekstrem.

Di Washington, sambutan di National Mall terpaksa ditangguhkan selepas cuaca terlalu panas, manakala seorang wanita terpaksa dikejarkan ke hospital akibat keletihan sebelum penganjur membatalkan acara Great American State Fair.

Perarakan Hari Kemerdekaan yang dijadualkan berlangsung di Washington pada Sabtu turut dibatalkan.

Di New York, indeks haba mencecah 41 darjah Celsius, menyebabkan pihak berkuasa membuka pusat penyejukan dan melanjutkan waktu operasi kolam renang awam.

NWS menjangkakan beberapa kawasan akan mencatat rekod suhu harian baharu sepanjang sambutan Hari Kemerdekaan.

Cuaca panas turut menjejaskan kejohanan Piala Dunia di Amerika Syarikat, dengan FIFA mewajibkan rehat pada setiap babak perlawanan bagi mengurangkan risiko kepada pemain.

Dalam pada itu, penggunaan penyaman udara secara besar-besaran turut memberi tekanan kepada sistem bekalan elektrik di beberapa negeri.

Syarikat utiliti Con Edison memaklumkan bekalan elektrik berjaya dipulihkan kepada kira-kira 60,000 pelanggan selepas gangguan yang berpunca daripada peningkatan penggunaan tenaga akibat cuaca panas.

Bagaimanapun, lebih 22,000 pengguna di New York dan kawasan sekitarnya masih terputus bekalan elektrik pada lewat petang Jumaat.-AFP

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.