Malaysia serah bantuan AS$600,000 untuk Palestin

Foto Kedutaan Malaysia di Amman

AMMAN, 3 Oktober – Malaysia menyerahkan bantuan berjumlah AS$600,000 (RM2.45 juta) kepada tiga institusi di Palestin dan Jordan bagi menyokong keperluan kesihatan, infrastruktur kemanusiaan serta pemeliharaan Masjid Al-Aqsa.

RINGKASAN BERITA AI
  • AS$200,000 disalurkan kepada Hospital Amal Islam Al-Makassed Baitulmaqdis untuk perolehan dan penambahbaikan peralatan perubatan penting.
  • AS$200,000 diserahkan kepada Perbandaran Jenin untuk menyokong infrastruktur perbandaran dan keperluan kemanusiaan.
  • Baki AS$200,000 diperuntukkan untuk penyelenggaraan, pemeliharaan dan operasi Masjid Al-Aqsa melalui Kementerian Awqaf Jordan.

Penyerahan bantuan itu disempurnakan Duta Besar Malaysia ke Jordan dan Palestin, Datuk Mohamad Nasri Abdul Rahman, dalam satu majlis di Amman pada 28 September lalu.

Menurut hantaran Facebook rasmi Kedutaan Malaysia di Amman, bantuan berkenaan disalurkan menerusi Akaun Amanah Kemanusiaan Rakyat Palestin (AAKRP), dengan setiap penerima menerima AS$200,000 (RM817,000).

Sebanyak AS$200,000 diserahkan kepada Al-Makassed Islamic Charitable Hospital di Baitulmaqdis bagi menyokong perolehan dan penambahbaikan peralatan perubatan penting.

Jumlah sama disalurkan kepada Perbandaran Jenin di Tebing Barat bagi menyokong infrastruktur perbandaran dan keperluan kemanusiaan.

Baki AS$200,000 diperuntukkan bagi penyelenggaraan, pemeliharaan dan keperluan operasi Masjid Al-Aqsa melalui Kementerian Awqaf, Hal Ehwal Islam dan Tempat Suci Kerajaan Hashemite Jordan.

“Malaysia kekal komited menyokong rakyat Palestin serta memperkukuh kerjasama dengan institusi Palestin dan rakan pelaksana di lapangan.

Melalui AAKRP, Malaysia akan terus menyediakan bantuan yang bersasar, bermakna dan praktikal bagi membantu menangani keperluan kemanusiaan dan pembangunan,” menurut hantaran tersebut.

Penyerahan itu memperlihatkan skop bantuan Malaysia yang bukan sahaja tertumpu kepada keperluan kemanusiaan, malah merangkumi sokongan terhadap sektor kesihatan, infrastruktur awam serta pemeliharaan warisan Islam di Baitulmaqdis.

AAKRP merupakan saluran di bawah Kementerian Luar yang ditubuhkan pada 2002 bagi mengumpul dan menyelaras sumbangan kemanusiaan daripada rakyat Malaysia untuk disalurkan kepada rakyat Palestin.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.