
JOHOR BAHRU, 2 Julai – Rakyat Johor diseru menunaikan tangggungjawab sebagai pemilih bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor ke-16, sekali gus memperkukuh amalan demokrasi di negara ini.
- Pilih pemimpin yang mampu melaksanakan agenda pembangunan negeri secara berkesan.
- Setiap undi menentukan hala tuju negeri; sokong kerajaan stabil berrekod baik.
- Manfaatkan peluang hadir mengundi pada hari Sabtu; proses pengundian dijangka lebih pantas.
- Ingat tarikh: pengundian 11 Julai, awal 7 Julai; tunaikan tanggungjawab sebagai pemilih.
Calon Pakatan Harapan (PH) bagi N.44 Larkin, Suhaizan Kaiat mengingatkan pengundi untuk memilih pemimpin yang mampu melaksanakan agenda pembangunan dengan berkesan.
“Gunakan ruang dan tanggungjawab ini untuk memilih pemimpin yang boleh diharapkan bagi membangunkan negeri ,” katanya.
Sementara itu, calon Barisan Nasional (BN) bagi N.45 Stulang, Bong Seng Heng pula berkata, setiap undi membawa kesan terhadap hala tuju negeri untuk tempoh yang panjang.
“Johor memerlukan kerajaan yang stabil, mempunyai rekod kerja baik dan misi jelas untuk membawa negeri ini ke tahap lebih tinggi,” jelasnya.
Calon PH bagi N.43 Permas, Sharon Teo pula berkata, pengundi mempunyai ruang mencukupi untuk hadir ke pusat pengundian memandangkan hari mengundi ditetapkan pada Sabtu.
“Proses pengundian juga dijangka berjalan lebih pantas kerana masa keluar mengundi telah ditetapkan.
“Saya berharap rakyat Johor, bukan sahaja di Permas, menunaikan tanggungjawab pada 11 Julai,” ujarnya.
Hari pengundian PRN Johor kali ini ditetapkan pada 11 Julai, manakala pengundian awal berlangsung pada 7 Julai.
Pada PRN Johor yang lalu, peratusan keluar mengundi mencecah 54.92 peratus.