
Timbalan Pengerusi Pakatan Harapan (PH), Datuk Seri Mohamad Sabu. / Foto BERNAMA
JOHOR BAHRU, 2 Julai – Semua pihak termasuk calon yang bertanding pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor ke-16 diingatkan supaya sentiasa mengutamakan keharmonian dan mengelak isu sensitif termasuk perkauman sepanjang tempoh berkempen.
- Selesaikan konflik antara kaum melalui perbincangan, elak dijadikan bahan untuk mencetuskan kebencian.
- Calon perlu meyakinkan pengundi melalui kerja dan pendekatan yang membina, bukan provokasi.
- Usaha dan kerja keras penentu kemenangan; hanya mengkritik biasanya menyebabkan calon ketinggalan.
Timbalan Pengerusi Pakatan Harapan (PH), Datuk Seri Mohamad Sabu berkata, sebarang masalah melibatkan hubungan antara kaum perlu diselesaikan melalui perbincangan dan bukannya dijadikan bahan untuk mencetuskan kebencian.
“Elakkan isu perkauman. Jika ada masalah antara kaum, kita perlu berbincang, terutama di peringkat tertinggi.
“Kita tidak boleh membuat hasutan sehingga menimbulkan kebencian antara satu sama lain,” katanya.
Beliau ditemui pada Program Ceramah Harapan bersama calon PH bagi N.45 Stulang, Andrew Chen Kah Eng di sini.
Datuk Seri Mohamad turut mengingatkan setiap calon supaya menumpukan usaha meyakinkan pengundi menerusi kerja dan pendekatan yang membina.
Jelasnya, perkara itu antara faktor penentu kemenangan calon, tanpa mengira kaum, dalam pilihan raya.
“Jika rajin berusaha, mereka akan berjaya. Jika hanya mengkritik, mereka selalunya akan ketinggalan,” katanya.